Thursday, August 18, 2011

Iman yang wajib dipertahankan....

Iman yang sejati ibarat akar pada sebatang pokok yang menjadi tunjang kepada tegak atau rebahnya pokok. Allah membeli jiwa manusia yang beriman dengan harga yang sangat tinggi itulah syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sugai dan di dalamnya dipenuhi dengan buah-buahan yang tidak dapat digambarkan keenakkan dan kelazatannya.

Maka dengan itu iman wajib dipertahankan kesucian dan kemuliaannya. Tidaklah iman itu menjadi mulia pada manusia yang suka mengadu domba, pada jiwa yang berhati jahat, pada anggota yang sering melakukan maksiat kecuali tempatnya pada manusia yang mulia juga.

Wahai diri yang menginginkan syurga, ingatlah dunia ini hanyalah sementara, hentikan persengketaan, hentikan perkelahian, hentikan merebut harta, pangkat dan kemuliaan, hentikan memakan daging saudaramu sendiri sebaliknya raikanlah kebaikan, kukuhkanlah ikatan silaturrahim, dan hadapkanlah wajahmu hanya kepadaNya.

Wahai jiwa yang tenang kembalilah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada setetes air mani
, kemudian menjadi segumpal darah, kemudian seketul daging, kemudian ditiupkan roh ke dalam jiwanya dan lahirlah seorang manusia yang telah berjanji dengan Tuhannya untuk taat kepadaNya, lalu ia membesar menjadi dewasa dan akhirnya kembali semula menjadi kanak-kanak dan sebahagiannya telah mati sebelum menjadi dewasa dan tua, semuanya itu untuk diperhatikan bertapa kekuasaan Allah terhadap manusia maka janganlah kamu ada mempunyai sifat sombong walaupun sedikit

Sunday, August 14, 2011

Ramadhan 1432 (1 - 14)


Kesalahan tidak menulis adalah sama dengan kesalahan tidak membaca. Dah banyak hari tidak mencatatkan sesuatu di sini. Banyak perkara yang menyentuh rasa hati tapi buat tak reti aja; tidak menjadikannya isi untuk menulis di sini. Masa begitu cepat berlalu, baru sahaja melihat anak bulan untuk memulakan puasa dah nak melihat anak bulan untuk berhari-raya pula.

Bila muhasabah semula apa yang telah dilakukan selama 14 hari di dalam bulan Ramadhan ini; rasa macam tak ada apa-apa yang telah dilakukan. Mengaji sedikit, solat sedikit, membaca sedikit apa lagi menulis dan membaca-semuanya sedikit kecuali makan. Makan memang tak boleh control, nampak ini sedap, nampak itu sedap. Semuanya nampak sedap belaka di dalam bulan Ramadhan ini.

Pada baki Ramadhan yang tinggal ini aku berdoa agar aku dapat memperbanyakkan yang sedikit dan menyedikitkan yang banyak agar harmoni puasa kali ini, Ya Allah tolonglah hambamu ini. Amin...

Thursday, August 4, 2011

Monolog diulit mimpi indah...



Monolog 1:

Hebatnya baginda, sabarnya baginda, membawa Islam yang suci ditengah-tengah bangsa Arab yang jahil dan ganas. Bangsa Arab yang sangat berpegang kuat kepada agama nenek moyang mereka. Jauhnya aku dari kehebatan baginda.Hanya ada sedikit kesabaran tanpa apa-apa kehebatan...

Monolog 2:

Tingginya keimanan baginda, kuatnya usaha baginda, tegapnya tawakkal baginda di dalam perjuangan meletakkan kemuliaan islam yang suci itu. Jauhnya aku dari usaha dan tawakkal baginda...

Monolog 3:

Dalam kesusahan mampu tersenyum, dalam keletihan mampu berikhlas, dalam kesukaran mampu berdiri, dalam kesempitan mampu memberi dan dalam kesakitan mampu mengingati maslahah ummah, di manakah aku? Jauhnya aku...


Ya Allah, dalam kesukaran perjuangan, dalam kepayahan menahan kesabaran, dalam kesempitan ruang dan peluang, dan dalam segala kekurangan kurniakan aku semangat juang yang tinggi di atas jalan ini, jalan yang tidak ramai melaluinya, jalan panjang dan sepi.....