Monday, January 2, 2012

Jalan ini bukan mudah...

Hari ini saya berada di BumiJati menunggu suami bermesyuarat sementara saya sendiri telah selesai menjalankan tugas urusetia kali terakhir JDK kali ini; bukan mudah mendapat kelapangan masa sebegini. Kelapangan masa yang Allah bagi ini memberi peluang kepada saya meninjau kembali kehidupan yang telah berjalan 46 tahun selama saya menumpang hidup yang penuh nikmat di bumi Allah ini. Saya memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah kerana nikmat Islam yang diberi olehNya selama ini. Nikmat yang tiada tandingannya dengan mana-mana kekeyaan di dunia ini. Kalau katakan kereta mewah menjadi ukuran, orang miskinpun waktu zaman sekarang ini mampu memiliki kereta mewah. Kalau rumah mewah menjadi ukuran, ramai penghuni rumah mewah yang tidak lena tidur di dalamnya. Tetapi kalau hari ini Islam telah berjaya menawan kehidupan kita; itulah nikmat yang paling agung harus kita syukuri. Saya rasa bersyukur memiliki Islam sebagai kepercayaan dan satu cara hidup walaupun saya akui bahawa kadang kala saya sendiri banyak melakukan kesilapan, namun kesilapan yang berlaku merupakan proses tarbiyyah untuk mendidik hati saya supaya tidak sombong untuk memohon keampunan dari Allah SWT.


Kalau nikmat Islam itu ibarat sebiji kek, mahu sahaja saya kongsikan dengan seluruh ahli saya tak kira ianya ahli keluarga, ahli di tempat kerja, ahli jiran hatta ahli FB, atau apa sahaja ahli yang saya adalah sebahagiannya. Namun, kadangkala terkeluar juga butir-butir mutiara di ruang mata ini tetapi segera dihapuskan kerana fahamlah saya bukan mudah melalui jalan ini, jalan yang sedikit dilalui orang.

Moga Allah akan sentiasa memilih saya untuk meninggikan ad DeenNya ini walau ianya payah walau ianya sukar kerana itulah fitrah perjuangan yang kalau tidak sepenuhnya berusaha pasti sahaja kecewa bila-bila masa. Amin Ya Rabb.