Thursday, September 6, 2012

Dakwah dan hikmah






Kisah Daud AtToi' apabila mendapat daging yang baik lalu ditanya bagaimana daging tersebut hendak dimasak, lalu beliau menyuruh daging itu dimasak mengikut kesukaan anak yatim yang berada di sekitar rumahnya dan bukan dimasak untuk dirinya sendiri walaupun ianya daging yang berkualiti. Beliau menggunakan daging itu untuk jalan da'wah dengan menukarkan daging itu kepada pahala yang berterusan dengan menginfakkan daging tersebut. Sekiranya daging yang dimasak itu hanya dimakan sendiri maka pahala yang dikumpul sekadarnya sahaja. Hubungan sesama manusia tidak akan dapat dibina sekiranya daging itu hanya untuk dirinya sendiri. Dalam mengatur strategi da'wah, kebijaksanaan dan hikmah adalah asas kepada keberkesanan da'wah tersebut. WaLLahualam.

EidulFitri 01 Syawal 1433H

Alhamdulillah, di pagi eidulfitri 1433H saya bergambar dengan ayah saya, kakak saya dan abang saya. Kalau dulu pagi-pagi eidulfitri ayah pasti dah bersedia ke masjid menunaikan solat sunat eidulfitri tetapi kini ayah tak berdaya lagi berbuat demikian. Moga saya dan seluruh ahli keluarga saya sentiasa bersyukur seterusnya tetap dalam keimanan kepada Allah S.W.T walau dalam keadaan apa sekalipun kami, sihat, sakit, susah, senang, miskin, kaya, lapang mahupun sempit. Saya berdoa moga Allah sentiasa menunjukkan dan meletakkan kami seluruh ahli keluarga di atas jalan yang lurus, jalan yang Dia redhai. Amin.

Wednesday, August 15, 2012

KAU... DI DALAM SENTUHAN RASA HATIKU

Hati dan perasaanku berbunga-bunga pada saat aku menunggu kedatanganmu tempoh hari, kau bukannya kerap datang menemuiku. Dalam aku sering mengharapkan dirimu, kau datang hanya sekali sahaja dalam setahun menemuiku. Itu yang membuatkan aku sentiasa ternanti-nanti dan kerap merinduimu.

Tanggal 21 Julai 2012 itu akhirnya kita bertemu, kau titipkan banyak hadiah buatku. Tak terkata aku pada kebaikanmu. Aku mengambil semua kesempatan yang ada untuk bersamamu di saat kau datang menemuiku. Aku gembira dan bersyukur kerana diizinNya dapat menemuimu lagi pada kali ini. Banyak kali butir-butir mutiara itu jatuh dari kelopak mataku kerana sukanya aku dapat bersamamu meskipun aku tahu bila tiba saatnya kau pasti meninggalkan aku. Kedatangan engkau umpama ombak yang datang menyapa pantai, sungguh singkat jika hendak dihitung pertemuan itu. Tapi aku pasrah pada ketentuan itu. 

Kini saat berpisah sudah hampir tiba, walau ku tahan pemergianmu dengan air mata darah sekalipun engkau tetap akan pergi. Cuma aku merayu kepada Pencipta kita agar merestui pertemuan kita, agar Dia rehdo dengan kita, agar Dia kurniakan berkat di masa-masa kita bertemu dan biarlah perpisahan yang akan menjelma itu juga perpisahan keranaNya. Diizinkannya kita bertemupun sudah merupakan nikmat yang tiada nilainya dan tak terhitung dengan kata-kata. Oleh itu aku redho sekiranya dua tiga hari lagi kekasihku ini akan berangkat jua pergi meninggalkan aku sendirian lagi mengharungi banyak perjalanan yang penuh onak dan duri serta ranjau di sepanjangnya. 

Cuma aku berdoa moga dengan segala latihan dan motivasi yang telah kau garap di sepanjang pertemuan kita itu menjadi senjata yang ampuh untuk aku terus mengharunginya. Aku akan ingat pada segala pesananmu, aku pasti tidak akan lupa jika aku benar-benar mahukan kejayaan itu. Banyak formular yang telah aku pelajari darimu, mudah-mudahan banyaklah boleh membantu aku menyelesaikan segala permasalahan di dalam hidupku kelak. Moga pertemuan ini akan berlaku lagi di tahun-tahun yang mendatang, aku berdoa dengan sungguh-sungguh untuk aku dikurniakan nikmat bertemu denganmu lagi. Selamat berangkat kekasihku, kau sentiasa di dalam sentuhan rasahatiku...Amin.

Aku yang sentiasa merindui dan menangisi pemergianmu
Ramadhan 27, 1433H

Wednesday, July 25, 2012

Mari menjaga hati supaya dapat memimpin anggota lain

Entri ini ditulis untuk meng"aktivate"kan semula blog ini setelah password hilang

Monday, January 2, 2012

Jalan ini bukan mudah...

Hari ini saya berada di BumiJati menunggu suami bermesyuarat sementara saya sendiri telah selesai menjalankan tugas urusetia kali terakhir JDK kali ini; bukan mudah mendapat kelapangan masa sebegini. Kelapangan masa yang Allah bagi ini memberi peluang kepada saya meninjau kembali kehidupan yang telah berjalan 46 tahun selama saya menumpang hidup yang penuh nikmat di bumi Allah ini. Saya memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah kerana nikmat Islam yang diberi olehNya selama ini. Nikmat yang tiada tandingannya dengan mana-mana kekeyaan di dunia ini. Kalau katakan kereta mewah menjadi ukuran, orang miskinpun waktu zaman sekarang ini mampu memiliki kereta mewah. Kalau rumah mewah menjadi ukuran, ramai penghuni rumah mewah yang tidak lena tidur di dalamnya. Tetapi kalau hari ini Islam telah berjaya menawan kehidupan kita; itulah nikmat yang paling agung harus kita syukuri. Saya rasa bersyukur memiliki Islam sebagai kepercayaan dan satu cara hidup walaupun saya akui bahawa kadang kala saya sendiri banyak melakukan kesilapan, namun kesilapan yang berlaku merupakan proses tarbiyyah untuk mendidik hati saya supaya tidak sombong untuk memohon keampunan dari Allah SWT.


Kalau nikmat Islam itu ibarat sebiji kek, mahu sahaja saya kongsikan dengan seluruh ahli saya tak kira ianya ahli keluarga, ahli di tempat kerja, ahli jiran hatta ahli FB, atau apa sahaja ahli yang saya adalah sebahagiannya. Namun, kadangkala terkeluar juga butir-butir mutiara di ruang mata ini tetapi segera dihapuskan kerana fahamlah saya bukan mudah melalui jalan ini, jalan yang sedikit dilalui orang.

Moga Allah akan sentiasa memilih saya untuk meninggikan ad DeenNya ini walau ianya payah walau ianya sukar kerana itulah fitrah perjuangan yang kalau tidak sepenuhnya berusaha pasti sahaja kecewa bila-bila masa. Amin Ya Rabb.

Tuesday, December 13, 2011

Tokoh Maal Hijrah 1433 Peringkat Kampung Durian Sebatang









Walaupun tajuk yang saya berikan adalah Tokoh Maal Hijrah tetapi bukanlah niat dan tujuan saya membincangkan perkara itu tetapi saya hendak melahirkan rasa syukur saya kepada Allah dan rasa terima kasih saya kepada adik beradik saya, abang dan kakak ipar saya suami saya dan anak-anak saudara saya juga cucu-cucu saudara saya serta anak-anak saya. Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana pastinya Allah SWT sahaja yang berhak mengurniakan rasa kasih sayang, perihatin dan bermacam kebaikan lagi di dalam hati-hati kami.

Saya datang dari keluarga yang sederhana dari sudut kebendaan, tidak miskin, tidak kaya, tidak pandai, tidak bodoh, tetapi saya bersyukur kerana ada rasa bahagia di dalam hati saya terhadap keluarga saya. Ibu saya, Hajjah Badariah binti Syahyal sudah lama meninggalkan kami iaitu pada 26 Ogos 1996 (kira-kira 15 tahun yang lalu) dan kini kepada ayah (bapak)lah kami mencurahkan kasih sayang sebagai seorang anak. Ayah saya pula telah berusia 89 tahun dan mendapat stroke lebih kurang lapan bulan yang lalu tetapi syukur kerana beliau masih boleh ke tandas secara berdikari walaupun tidak boleh berjalan.

Dalam keadaan ayah yang begitu, saya sangat berterima kasih kepada semua ahli keluarga yang saya sebutkan tadi kerana semua mereka sangat hebat di mata saya terutama kak de dan abang saya yang tinggal berhampiran dengan rumah ayah saya. Bukan mudah menjaga seseorang yang sakit dan memberi perhatian kepada mereka kerana orang yang menjaga perlu ada rasa kasih, sayang, kesabaran dan tanggungjawab yang tinggi. Dua orang lagi kakak dan saya sendiri tinggal berjauhan dengan ayah namun mereka juga hebat di mata saya kerana rasa kasih sayang dan tanggungjawab juga mereka memberikan yang terbaik dalam bentuk yang lain buat ayah.

Yang turut berkorban pastinya suami atau isteri masing-masing dan anak-anak masing-masing. Terima kasih kepada abang-abang ipar dan kakak ipar kerana memahami isteri dan suami masing-masing atau yang sebenarnya adalah rasa tanggungjawab juga yang Allah kurniakan dalam hati mereka bukan semata-mata faham. Anda semua memang hebat di mata saya dan mudah-mudahan hebat lagi bagi Allah.

Oleh kerana itu saya sentiasa berdoa semoga orang-orang yang hebat di mata saya itu terus dikurniakan Allah dengan rasa kasih sayang yang tinggi dan kehidupan mereka sentiasa dirahmati Allah dunia dan akhirat. Saya sendiri tidak dapat berbuat sebaik itu namun semoga Allah memberikan kebaikan kepada saya dan kita semua.

Walaupun begitu keadaan ayah dengan pelupanya, kadangkala tidak fahampun apa yang ditanya tetapi diiktiraf juga sebagai Tokoh Maal Hijrah 1433 peringkat kampung; terima kasih kepada yang memberikan pengiktirafan walaupun kami sekeluarga tidak pernah memikirkan hal itu kerana kami adalah sederhana dan biasa sahaja. SYUKUR DAN TERIMA KASIH SEMUA.

Sunday, September 25, 2011

BAGAIMANA BERSILATURAHIM DI BULAN SYAWAL

Kita telah lama tamat pengajian di madrasah ramadhan, madrasah yang mengajar erti ketaqwaan manusia terhadap penciptanya, Allah Yang Maha Agung, Tuhan Yang Menciptakan langit dan bumi serta segala isi di dalamnya.

Setelah sebulan kita beribadah melalui amalan berpuasa ditambah pula enam hari berpuasa sunat Syawal, Allah menganugerahkan kita hari untuk meraikan kemenangan iman (berjihad melawan hawa nafsu) iaitulah eidul fitri untuk kita melahirkan rasa syukur dan kegembiraan di atas kemenangan tersebut.

Walaupun Allah telah menganugerahkan hari kemenangan ini namun dalam kegembiraan itu yang lebih utama ialah mengukuhkan silaturrahim antara satu sama lain. Silaturrahim dapat diperkukuhkan melalui amalan ziarah menziarahi.

Pagi tadi semasa saya menghadiri majlis jamuan hari raya, seorang sahabat saya telah menyampaikan sedikit peringat bagaimanakah kita sepatutnya berukhuwah di bulan syawal ini melalui amalan ziarah supaya aktiviti ziarah itu akan menjadi satu ibadah yang diterima Allah.

Dalam aktiviti ziarah terdapat adab-adab dan etika ziarah yang harus kita amalkan. Jika mengikut keutamaan, berikut adalah keutamaan yang dianjurkan, ziarahlah:

1-Kedua ibu bapa dan kaum keluarga terdekat
2-Sahabat yang rapat
3-Jiran tetangga
4-Alim ulamak
5-Anak-anak yatim
6-Orang yang ada masalah perhubungan dengan kita

Dalam aktiviti ziarah, beberapa perkara harus di jaga, jagalah:

1-Akhlak supaya sentiasa berakhlak mulia dengan orang yang kita ziarahi
2-Aurat kerana tidak semua yang kita ziarahi itu mahram kita
3-Tuturkata kerana tuturkata yang baik itu akan menjadi ingatan dan penyejuk hati 

SEMOGA AMALAN DIBULAN RAMADHAN DIPANJANGKAN KEBAIKANNYA SEHINGGA SYAWAL DAN BULAN-BULAN YANG AKAN DATANG DAN IANYA DITERIMA SEBAGAI AMAL YANG SOLEH.