Wednesday, September 30, 2009

Istiqamah di Dalam Ketaatan...

Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita. Itulah sifat ramadhan, datang dan pergi. Sekiranya kita seorang hamba Rabbani maka, pemergian Ramadhan
tidak sedikitpun menggugah istiqamah kita dalam melakukan amal ibadah. Namun kalau kita memilih menjadi hamba Ramadhan, maka ramadhan yang pergi akan membawa sekali ketaatan kita mengerjakan ibadah, maka kembalilah kita kepada zon kelalaian, kealpaan, keselesaan tanpa sedikitpun amal ibadah kita semasa di bulan Ramadhan meninggalkan bekas kepada kita. Ibarat sahaja air yang mengalir begitu deras, tidak sedikitpun meninggalkan kesan pada batu yang menahan. Tetapi air yang sedikit sekiranya menitik berterusan, lama kelamaan ia tetap akan memberikan bekas kepada batu yang menahan. Biarlah kita sentiasa menjadi hamba Rabbani, sentiasa istiqamah di dalam ketaatan. Biarlah Ramadhan berlalu namun kita tetap istiqamah serta ikhlas beribadah kepada Allah. Biarlah kita tetap istiqamah membantu menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Biarlah kita istiqamah mengurus dunia ini kerana di sinilah ladang untuk kita menumpahkan keringat demi memetik buah keimanan di negeri akhirat.

Saturday, September 19, 2009

Tips Nabawi Mudik Balik Kampung

Ramadhan sudah berada di penghujung, eidul fitri bakal menjelang. Trend dan budaya masyarakat Malaysia yang unik ialah balik kampung untuk meraikannya bersama sanak saudara di kampung. Bila sebut balik kampung semua orang teruja sama ada kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa-itulah keseronokan yang dinanti-nantikan. Walau bagaimanapun sebagai mukmin sejati pasti kita mahukan perjalanan balik kampung dan meraikan eidul fitri di kampung ini menjadi ibadah dan mendapat keredhaan Allah, insyaAllah.

Di sini dikemukankan beberapa panduan dari panel Forum Al Muqorrobin-Akrab dengan Tuhan dan rapat sesama manusia yang ke udara malam Jumaat di Pahang FM. Ustaz Alaudin memberikan beberapa panduan berikut:

1- Sebaiknya memulakan perjalanan ialah pada hari khamis kerana sunnah Rasulullah semasa keluar untuk perang tabuk ialah pada hari Khamis.

2- Bertolaklah diawal pagi - Rasulullah membacakan doa memohon keselamatan bagi sesiapa yang berpergian waktu pagi.

3- Hendaklah melakukan perjalanan beramai-ramai kerana dikhuatiri berlaku sebarang masalah di dalam perjalanan.

4- Kenderaan hendaklah berada di dalam keadaan yang baik.

5- Senantiasa memanjatkan doa sebelum, semasa dan sesudah melakukan perjalanan untuk keselamatan di dalam perjalanan.

6- Sekiranya kita melalui perjalanan yang menaiki bukit bacalah banyak-banyak kalimah Allahuakbar dan sekiranya menuruni bukit pula bacalah Subhanallah sebanyak-banyaknya.

7- Antara doa yang makbul ialah doa orang yang bermusafir, maka hendaklah perbanyakkan berdoa kepada Allah semasa di dalam perjalanan.

8- Apabila terpaksa singgah di kawasan yang berada di dalam perjalanan maka bacalah "Auzubikalimatillahitammahti min syarima khalaq" bagi mengelakkan sebarang kejahatan yang ada di tempt tersebut.

SEMOGA KITA SEMUA SELAMAT DI DALAM PERJALANAN DAN SELAMAT SAMPAI KE DESTINASI YANG DITUJU. BARIKILLAHUMMALANA FI SYAHRIROMADHANI (YA ALLAH BERKATILAH KAMI DI BULAN RAMADHAN INI...AMIN)

Wednesday, September 16, 2009

Tautan Iman...Semoga diketemukan lagi...








Aku memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah S.W.T kerana memberikan kami dua insan tahfiz al-quran untuk mengimami solat terawikh sepanjang Ramadhan ini. Aku percaya keindahan bacaan Al-Quran disetiap rakaat terawikh yang mereka imami itu dapat memberikan rasa khusyuk para jemaah surau AnNaim, Bernam Jaya...
Aku dapat membayangkan bertapa keindahan hidup yang dilalui oleh para sahabat yang berada di dalam suasana generasi Al-Quran di zaman Rasulullah kerana hanya dikurniakan dua orang tahfizpun kami boleh merasakan kemanisan menghayati bacaan Al-Quran apa lagi dikelilingi oleh Al-Quran yang berjalan dan berada di mana-mana sahaja.
Semoga keduanya sentiasa di dalam peliharaan Allah dan diberkati amal perbuatan mereka dan kami para jemaah Bernam Jaya dikurniai kekuatan tautan hati berlandaskan iman yang sejati...Amin.

Sunday, September 13, 2009

Ramadhan yang bakal meninggalkan kita...

Aku sedang mengumpul kesedihan untuk berpisah dengan Ramadhan, meskipun aku pernah mengalami saat yang begitu sukar menghadapi sebuah perpisahan namun perpisahan dengan ramadhan amat berbeza. Kesayuannya membuatkan aku tidak dapat menahan titik-titik jernih dari terus mengalir di sungai kedukaan hatiku. Apakah segala usaha di dalam madrasah Ramadhan yang hampir tertutup pintunya itu telah membuahkan hasil yang lumayan atau sekadar average sahaja. Oh Tuhan berilah aku kesempatan menikmati malam-malam yang terakhir ini dengan penuh barakah dan kasih sayangMu. Jadikan Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang sebelumnya...Amin.

Tuesday, September 1, 2009

Kabahagiaan Yang Berkekalan

Tulisan ini dipinjam dari blog seorang sahabat, semoga Allah sentiasa memberkatinya. (http://my.opera.com/azmibhr/blog/)

Syukurlah tulisan ini dapat menambah banyak kefahaman tentang kehidupan ini yang sebenarnya.

Kemana perginya kegembiraan ketika kita berdepan dengan musibah yang menggoncang jiwa? Kemana perginya ketenangan ketika berdepan dengan kegetiran hidup? Inilah di antara persoalan-persoalan yang perlu kita jawab sebelum terus melangkah dan menongkah hidup yang penuh teka-teki ini. Adakah semua kegembiraan dan keseronokan itu bersifat sementara? Begitu juga ketenangan, kenapa ada saat-saat tertentu jiwa kita tidak dapat tenteram walau berbagai cara yang kita cuba usahakan? Jika semuanya bersifat sementara bagaimana kita dapat terus melangkah untuk mencapai apa yang kita cita-citakan.

Sudah tentu ada kegembiraan yang bersifat kekal lama, begitu juga ketenangan dan kebahagiaan. Jika ketenangan, kegembiraan dan kebahagiaan itu bersumberkan sesuatu yang kekal tentu sifatnya juga kekal. Ini adalah formula mudah yang kita boleh gunakan.

Sahabat-sahabat yang mendapat sentuhan tarbiyyah dari Rasulullah SAW begitu tegar jiwa mereka. Keganasan musuh dan ramainya tentera musuh sedikitpun tidak menakutkan mereka bahkan menambah keyakinan dan ketenangan. Lihatlah peristiwa yang dirakamkan di dalam surah al Ahzab; "Apabila orang-orang Mukmin itu melihat tentera al ahzab (tentera musuh yang bersekutu hingga jumlahnya begitu banyak), mereka berkata "inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul (untuk mendapat keredhaan dan syurgaNya) dan benarlah Allah dan RasulNya, Dan tidaklah bertambah melainkan keimanan dan penyerahan"Bukankah suatu yang ajaib, jiwa semakin tenang dan keyakinan semakin mendalam dan teguh ketika berdepan dengan ujian yang luarbiasa. Inilah suatu keajaiban yang hanya dapat dirasai oleh orang-orang yang melaluinya secara amali.

Pengalaman yang berbentuk perasaan begini tidak mungkin dapat digambarkan dengan tepat melalui tulisan-tulisan dan ceramah-ceramah, hanya mereka yang melaluinya secara amali sahaja yang memahami keajaiban jiwa ini.Inilah sakinah Imaniyyah. Ketenangan yang merupakan natijah dari keimanan yang benar. Keyakinan yang mendalam kepada apa yang Allah janjikan, keyakinan pada bantuan dan pertolongan serta keyakinan dan keimanan pada Deen atau cara hidup yang diredhai Allah SWT.

Ketenangan begini tidak akan diperolehi dengan banyaknya zikir dan fikir tetapi hanya dirasai apabila seluruh kehidupan di wakafkan untuk Allah SWT: hidup mengikut nilaianNya, mengambil hanya sistemNya dengan mengambil kira semua suruhan dan tegahanNya, bahkan mengutamakan apa yang disukaiNya walaupun tidak diwajibkan keatas hambaNya. Ketika itu akan tersingkap satu horizon baru tentang keimanan, ketaqwaan, ketenangan, kebahagiaan dan kegembiraan.