tidak sedikitpun menggugah istiqamah kita dalam melakukan amal ibadah. Namun kalau kita memilih menjadi hamba Ramadhan, maka ramadhan yang pergi akan membawa sekali ketaatan kita mengerjakan ibadah, maka kembalilah kita kepada zon kelalaian, kealpaan, keselesaan tanpa sedikitpun amal ibadah kita semasa di bulan Ramadhan meninggalkan bekas kepada kita. Ibarat sahaja air yang mengalir begitu deras, tidak sedikitpun meninggalkan kesan pada batu yang menahan. Tetapi air yang sedikit sekiranya menitik berterusan, lama kelamaan ia tetap akan memberikan bekas kepada batu yang menahan. Biarlah kita sentiasa menjadi hamba Rabbani, sentiasa istiqamah di dalam ketaatan. Biarlah Ramadhan berlalu namun kita tetap istiqamah serta ikhlas beribadah kepada Allah. Biarlah kita tetap istiqamah membantu menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Biarlah kita istiqamah mengurus dunia ini kerana di sinilah ladang untuk kita menumpahkan keringat demi memetik buah keimanan di negeri akhirat.