"Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran"
Surat Al 'Ashr terdiri atas 3 ayat, termasuk golongan surat-surat Makkiyyah, diturunkan sesudah surat Alam Nasyrah. Dinamai Al 'Ashr (masa) diambil dari perkataan Al 'Ashr yang terdapat pada ayat pertama surat ini.
Pokok-pokok isinya:
Semua manusia berada dalam keadaan merugi apabila dia tidak mengisi waktunya dengan perbuatan-perbuatan baik.
Allah telah bersumpah dengan masa bahawa manusia itu akan sentiasa berada di dalam keadaan rugi kecuali sekiranya kita mengisi ruang waktu dalam kehidupan kita ini dengan amal yang soleh.
Saya sengaja menyingkap maksud ayat Al-Asr ini, apabila saya lihat sudah agak lama saya tidak menulis sesuatu didalam blog ini dan last entry yang saya buat adalah pada 25 Januari 2010 yang lepas. Blog ini sebenarnya adalah wadah bagi saya meluahkan apa yang tergerak di hati, merakamkan dalam bentuk tulisan rasa bermuhasabah diri, menjelaskan idea dan menetapkan pendirian supaya tidak goyah. Jadi apabila telah terlalu lama tidak menulis, semua hal itu mungkin berlaku tetapi ianya berlaku dan berlalu sahaja di dalam fikiran tanpa dirakamkan di dalam bentuk tulisan. Apabila tidak dirakamkan di dalm bentuk tulisan maknanya potensi untuk melupai sesuatu even yang penting, idea yang penting, fikiran yang penting dan banyak lagi benda-benda yang penting adalah tinggi. Sekiranya di tulis dan sekiranya kelak saya lupa boleh sahaja saya menyingkap kembali lembaran blog ini untuk dibaca semula.
Tetapi mengapa terjadi sudah agak lama tidak menulis diblog ini adalah kerana satu sebab iaitulah SIBUK/SEBUK/SIBOK/SEBOK (dah keliru ejaan yang sebenar tetapi di sini tanpa merujuk kepada kamus dewan dan hanya merujuk kepada kata hati saya memilih ejaan SIBUK).
Kononnya sejak kebelakangan ini agak sibuk...sibuk dengan hal duniake hal akhiratke atau kedua-duanya sekali? Yang mana satu tidak penting kerana duniapun perlu diurus apatah lagi akhirat. Kalau dunia tidak diurus dengan baik (kalau ladang tidak diurus dengan baik) mana mungkin kita menuai hasil yang baik nanti di akhirat. Yang penting ialah yang kita sibukkan itu adalah mengerjakan amal yang soleh/mengerjakan perbuatan yang baik. Kalau ini yang saya sibukkan selama ini, Alhamdulillah mudah-mudahan saya tidak termasuk di dalam golongan orang-orang yang rugi seperti yang Allah peringatkan kita di dalam surah Al-Asr di atas. Tetapi kalau selama ini yang saya sibukkan adalah pada perkara yang di sebaliknya, saya mohon ampun serta perlindungan dari Allah agar mulai dari saat ini dan seterusnya saya sentiasa berada di dalam kesibukan mengerjakan amal yang soleh.
Dua tiga hari kebelakangan ini saya lebih banyak menonton TV, maklum cuti dari tugas selama seminggu saya ambil kesempatan menonton. Ada tiga perkara yang sangat terkesan di hati saya dari rancangan yang saya tonton itu:
1-Soal tanggung jawab
2-Soal perbankan Islam
3-Soal kasih sayang
Soal tanggunjawab dan soal kasih sayang saya perolehi dari drama kehidupan dan soal perbankan Islam saya perolehi dari rancangan Al-Kuliyyah dan rancangan Tanya Ustaz. Ketiga-tiga perkara itu sangat terkesan di hati saya sebab ianya adalah apa yang berlaku di dalam kehidupan saya. Saya mudah memahaminya kerana ia berlaku di dalam kehidupan saya sendiri. Ianya memberi kekuatan kepada keyakinan saya dan pendirian saya. Bukanlah TV itu melalaikan kita sekiranya kita bertanggung jawab memilih rancangan yang boleh memandu kita mengerjakan amal soleh.
Soal tanggungjawab yang saya katakan tadi ialah berkenaan dengan seorang pemuda yang hartanya hanya cukup sekadar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Pada suatu hari dia menjumpai beg kepunyaan seseorang yang tertinggal di dalam tandas, dia menyerahkan beg itu kepada pihak masjid untuk dicari siapakah tuan punya beg tersebut. Dipendikkan cerita, tuan punya itu menghulurkan pemberian sebagai membalas budi anak muda tersebut. Yang sangat terkesan di hati saya ialah jawapan yang diberikan oleh pemuda itu. "Maaf pak, saya tidak menerima pemberian bapak kerana saya hanya menunaikan tanggungjawab saya iaitu memulangkan barang yang saya jumpa, mana mungkin saya menerima pemberian bapak di atas perkara yang memangnya sudah menjadi tanggungjawab saya"
Ianya sangat terkesan di hati saya kerana fenomena hendakkan ganjaran dari manusia kita terlepas ganjaran yang lebih besar yang Allah sediakan kerana menunaikan tanggungjawab kita kepada Allah. Rentetan dari itu, kita seperti tidak ikhlas sekiranya menunaikan tanggung jawab sambil mengharapkan ganjaran bukan mengharapkan keredhaan Allah.