Friday, March 19, 2010

Mudah Tetapi Berkesan...


Salah satu kriteria penting seorang da'e adalah, berbicaralah dengan setiap orang yang kita temui. Paling kurangpun kita bertaaruf dengan bertanyakan perkara yang paling penting bagi diri seseorang iaitu namanya. Banyak kajian telah dijalankan mengenai nama seseorang. Ia memberikan kesan yang sangat mendalam apabila kita dapat mengingat nama seseorang dan sering pula memanggilnya dengan nama yang disukainya itu.

Bayangkan sahaja nama yang sering diulang-ulang itu adalah nama kita atau kawan yang telah lama tidak kita temui tiba-tiba dia memanggil nama kita semasa kita sedang berada dikhalayak ramai. Apa perasaan kita waktu itu? Saya sendiri pernah mengalami perkara sedemikian dan saya akui kesannya adalah sangat mendalam. Semasa saya belajar di universiti dulu, pensyarah sering memanggil nama saya semasa di dalam kelas, walaupun subjek itu sukar namun saya telah memperolehi pencapaian yang baik dalam subjek tersebut, Alhamdulillah.
Maksudnya ialah mengenali nama seseorang itu adalah mekanisme yang mudah tetapi praktikal untuk kita menarik mad'u kita. Saya pernah, di sapa oleh anak murid saya yang sekolahnya telah lama saya tinggalkan dan sayapun sudah tidak mengenalinya lagi tetapi apabila dia tiba-tiba memanggil nama saya semasa saya membeli sayur di sebuah pasar tani, saya berasa begitu teruja.

Jadi saranan berbicara dengan sesiapa sahaja orang yang kita temui dalam adab-adab yang tertentu dan berusaha mengetahui namanya secara ikhlas dan kerana Allah adalah merupakan satu strategi penting yang perlu kita praktikkan supaya dapat menyentuh hati-hati mereka, insyaAllah.