Monday, May 17, 2010

SELAMAT HARI GURU...


Semalam 16 Mei 2010 adalah tarikh yang dinobatkan sebagai Hari Guru di Malaysia. Saya cuma ingin mengajak diri saya dan sahabat-sahabat serta rakan guru yang lain membuat satu refleksi tentang tugas yang telah kita jalankan selama ini? yang pertama sekali saya hendak melihat semula apakah niat yang tertanam jauh di sudut hati kita hari pertama melangkahkan kaki ke sekolah untuk menjadi guru? kalau sekiranya niat kita bukan semata-mata mencari keredhaan Allah maka marilah kita sekali lagi pada saat ini memperbetulkan semula niat kita bahawa tujuan utama kita mendidik pelajar ini adalah untuk mencari keredhaan Allah. Mengadabkan insan, mentarbiyyah insan serta mencurahkan ilmu sepatutnya menjadi agenda utama kita melewati pekerjaan sebagai seorang guru ini. Sebahagian besar masa depan para pelajar kita itu adalah ditentukan oleh corak didikan kita pada hari ini. Maka apakah kita sudah melaksanakan tanggung jawab itu sebaik mungkin? Apakah kita telah menyediakan mereka dengan kehidupan mereka di masa hadapan? Sudah berjayakah kita melahirkan banyak Usama bin Zaid ataupun Aisyah? Ataupun kita asyik memikirkan untuk naik gaji, beban tugas, beban masa dan segala macam beban lagi. Sebenarnya kita sudah berada di trek yang betul cuma kitalah yang menentukan bagaimana untuk melaluinya. Inilah medan untuk kita berjuang dan berjihad. Inilah medan jihad yang kita kena pertahankan. Mempertahankan maruah anak didik kita melalui sentuhan iman samalah seperti kita mengangkat pedang mempertahankan nyawa dan darah kita dari musuh yang durjana. Jadi, mengapa ada di antara kita mengabaikan tugas yang mulia ini? Mengapa ada di antara kita yang menganggap tugas ini tugas secondary? Mengapa ada di antara kita yang berkongsi tangan menghancurkan masa hadapan mereka? Marilah bertanya kepada diri kita, kalau bukan kita guru, pada bahu siapa kita menggayutkan beban tugas mengadabkan mereka? Ayuh diriku, ayuh sahabatku, ayuh rakan-rakanku, melangkahkan kaki di medan jihad yang penuh berliku ini dengan niat yang ikhlas untuk mencari keredhaan Allah. Apabila kita meletakkan mencari keredhaan Allah matlamat kita, insyaAllah semua perkara boleh diurus menurut fitrahnya, insyaAllah.
SEMOGA PERKONGSIAN INI MEMBUKA RUANG HATI DAN FIKIRAN KITA UNTUK MENAMBAH USAHA JIHAD KITA MEMPERJUANGKAN IMAN MELALUI BIDANG PENDIDIKAN INI, AMIN.