Tuesday, May 10, 2011

SABAR ITU INDAH...


Tengahari tadi sahabat saya menemui saya dan menghadiahkan sesuatu yang sangat bernilai buat saya, jazakillahukhairan kathiro. Saya bukan hendak mengulas pemberian sahabat saya itu tetapi saya hendak menulis tentang sabar itu ibarat sinaran mentari. Gambar pokok nangka ini pula saya ambil di sekitar rumah ibu mertua saya. Iktibar yang saya ambil dari pokok nangka ini ialah jadilah seperti pokok nangka ini walaupun berat tetapi mampu menampung buah yang banyak untuk kebaikan orang lain.

Berbalik kepada sifat sabar tadi, firman Allah yang bermaksud:

"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaanNya dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan
kehidupan dunia ini dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya kerana keadaannya itu melewati batas" (Surah al-Kahfi 18:28).

Menurut ayat ini, bersabar adalah dengan sedaya upaya menahan diri terkeluar daripada kalangan mereka yang beriman, yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah. Perintah sabar itu sekaligus sebagai pencegahan daripada keinginan manusia yang ingin bersama dengan dengan orang yang lalai daripada mengingati Allah S.W.T.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Dan solat itu laksana sinar rembulan, sedekah itu bukti keimanan, sedangkan sabar itu laksana sinar matahari." (Riwayat Muslim).

Sememangnya sabar itu bukan perkara yang mudah dilaksanakan kerana padanya terdapat kesulitan dan kepenatan. Meskipun sinar mentari itu panas dan tidak menyelesakan, tetapi manusia memerlukannya untuk mengeringkan pakaian yang basah dan memberi cahaya kepada tumbuh-tumbuhan untuk menghasilkan makanan, memberikan cahaya kepada haiwan agar hidup segar dan kuat. Bumi akan suram tanpa hadirnya sinar mentari. Itulah ibarat sifat sabar. Manusia sangat memerlukannya walaupun mendapatkannya sangat menyukarkan kita. Ternyata sabar itu indah!


TERIMA KASIH SAHABAT KERANA MENGHADIAHKAN PERKARA YANG SANGAT BERNILAI INI UNTUK SAYA JADIKAN PEGANGAN, INSYAALLAH. KAMULAH SAHABAT YANG BAIK YANG SENTIASA MENGINGATKAN SAYA TATKALA SAYA BERADA DI DALAM KEALPAAN DENGAN NIKMAT DUNIA INI. SAYA BERSYUKUR KEPADA YANG MAHA ESA.