Monday, June 14, 2010

Tarbiyyah Allah

Syukur ya Allah...
Wahai Tuhan Yang Maha Agung
Engkau masih beri aku kesempatan
Untuk merasai nikmat berada di jalan Mu
Walau banyak rintangan yang harus aku lalui
Namun itulah kemanisan tarbiyyahMu Ya Allah
Izinkan aku mengingati banyak pengajaranMu
Demi mendekatkan lagi aku kepadaMu Ya Allah...
Dahulu aku kadang-kadang menagisi tarbiyyahMu...
Ampuni aku Ya Allah...
Kesabaran yang pahit itu sudah kurasai manis buahnya iman...
Ya Allah...
Ampuni aku...
Redhai aku...
Pilihlah aku...
Terimalah syukurku Ya Allah...
Untuk terus istiqamah di atas jalanMu...Amin.

Sunday, June 13, 2010

Nikmat Waktu Lapang...

Walaupun gambar yang di letakkan di sebelah ini ialah gambar Mavi Marmara (Blue Marmara) tetapi entri kali ini tidak secara langsung mengulas isu Palestine. Isu yang hendak saya sentuh ialah nikmatnya bila Allah beri kelapangan masa. Bayangkan kalau waktu bekerja saya biasanya keluar rumah pukul 6.30 pagi dan pulang semula lebih kurang pukul 5.00 petang dan setelah mengurus diri dan menyelesaikan pakej ibadah solat isya' dan apabila sahaja saya hendak memegang buku untuk di baca, mata akan terasa berat yang memberi isyarat bahawa badan saya penat dan perlu berihat maka berlakulah dimana... sebuah buku hanya boleh dihabiskan membacanya paling singkat adalah dalam masa sebulan, dahsyat betul apabila budaya iqra' tidak dapat dihayati kerana kesibukan menguruskan pekerjaan, tetapi itulah realitinya pada hari ini. Saya bekerja di bawah bumbung pendidikan, pendidikan biasanya amat sinonim dengan budaya iqra' namun entah di mana silapnya budaya ini seolah-olah sangat asing bagi seorang pendidik seperti saya. Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur pada cuti kali ini saya dapat menghabiskan bacaan sebuah buku hanya dalam masa sehari. Buku boleh menambah kesedaran saya tentang pelbagai isu, buku juga boleh buat saya menangis, buku juga boleh buat saya berfikir, buku boleh menerangkan saya tentang budaya, sejarah, sains, teknologi dan sebagainya. Tapi semua perkara itu saya tidak memperolehinya sewaktu saya dibelenggu kesibukan, saya terasa sangat rugi...rugi yang amat sangat kerana tidak membaca. Moga Allah sentiasa mengurniakan saya ruang waktu untuk membaca, insyaAllah, Amin.

Monday, June 7, 2010

Misi Flotilla/Pelayaran Aman ke Gaza oleh Konvoi LLG4

Banyak pengalaman yang dapat dikongsikan oleh sukarelawan yang mengikuti misi LL4G. Antara yang ditemubual oleh radio IKIM sebentar tadi adalah saudara Dr. Syed Muhammad Haleem dan beliau menceritakan keadaan mereka semasa di sana dan beliau menyatakan beliau diberikan kesempatan waktu untuk ke sana oleh Allah dan meminta kita semua memainkan peranan masing-masing di sini walau dalam apa bentuk sekalipun yang menjurus membantu rakyat palestine seterusnya membebaskan bumi Palestine dari lingkaran penipuan manusia bongkak dan pembohong yang mengaku dirinya manusia pilihan.
Kepada semua sukarelawan berikut, saya doakan supaya Allah beri kita kekuatan untuk terus berusaha dijalanNya hingga ke akhir kehidupan kita di muka bumi Allah ini, insyaAllah, Ameen.

1. Tn Hj Noorazman bin Mohd Samsuddin (HALUAN Palestin)
2. Dr Mohd Arbai’e bin Syawal (HALUAN Palestin)
3. Dr Syed Muhammad Haleem bin Syed Hasan al-Haddad (HALUAN Palestin)
4. Ust Al-Hami Husain bin Suhaimi (HALUAN Palestin)
5. Mohd Nizam bin Mohd Awang (HALUAN Palestin)
6. Ust Hasanuddin bin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
7. Tn Hj Jamuliddin bin Elias, Yayasan Amal
8. Dr Selamat bin Aliman, Jamaah Islah Malaysia (JIM)
9. Abdul Halim bin Mohd Redzuan, Muslim Care
10. Mustafa bin Mansur, MAPIM
11. Ashwat bin Ismail, Wartawan ASTRO
12. Shamsul Kamal Latif, Jurukamera ASTRO

MARILAH MEMBANTU PALESTINE DENGAN PENUH HAMASAH...

Sunday, June 6, 2010

Menulislah walaupun sedikit...

Semasa saya menonton siaran langsung menyambut kepulangan sukarelawan misi flotilla pagi tadi di TV3 yang saya rasa paling menarik dan menyentuh perasaan saya ialah apabila Puan Mazlinah isteri kepada Tuan Haji Azman (ketua misi pelayaran ke Gaza) menerangkan berkenaan persoalan yang ditimbulkan oleh anak mereka iaitu mengapa ayah mereka pulang sedangkan barangan belum dapat diserahkan lagi kepada penduduk Palestine. Saya tersentuh dengan kesan tarbiyyah yang diterima oleh anak beliau sehingga anak-anak ini boleh mempunyai pemikiran yang berbeza terhadap Islam dan jihad.
Saya sendiri pernah berhadapan dengan pemikiran yang sebaliknya dari golongan yang tidak memahami walaupun senioriti dari segi umur jauh lebih tua tetapi pemikiran jauh lebih muda. Semoga Allah beri saya kekuatan supaya dapat memahamkan mereka yang masih lagi belum memahami apa erti perkara yang berlaku sekarang dengan iman yang kita miliki, Amin...

Wednesday, May 19, 2010

Belajar Strategi pengurusan dari PERANG KHONDAQ

Walaupun perang khondaq telah berlaku pada tahun 5 Hijriah iaitu kira-kira 1426 tahun yang lalu namun taktik, strategi, ilmu serta pengajaran yang berlaku di dalam perang tersebut sangat relevan sehingga ke hari ini malah ianya adalah rujukan yang terbaik untuk kita kembali kepada Al-Quran dan As-Sunah di dalam tindakan kita untuk menangani permasalahan yang ada pada hari ini. Antara pengajaran yang dapat perhati dan diasimilasikan dalam kehidupan masa kini ialah:


1-Oleh kerana dalam kehidupan ini kita sentiasa berhadapan dengan pertarungan antara yang haq dan yang batil maka Allah memperingatkan kita bahawa di dalam menangani kebatilan pasti ada risikonya. Oleh itu kita seharusnya bersedia menghadapi apa jua risiko hatta yang paling berat sekalipun.


2-Keperluan musyawarah dan keberkahannya adalah satu keperluan yang mendesak untuk dipraktikkan di dalam amal islami. Musyawarah merupakan cara terbaik untuk mengumpulkan idea dan pemikiran yang bernas melalui akal kurniaan Allah. Melalui musyawarah juga dapat membangkitkan semangat berpasukan atau kebersamaan. Imam Ali bin Abu Thalib ra. mengumpamakan musyawarah sebagai "Kejernihan air dalam kesendirian tidak lebih baik dari air sungai yang keruh dalam kebersamaan". Kerana kejernihan air segelas hanya terhad kepada untuk minum sahaja sedangkan air sungai yang keruh jauh lebih banyak nilai manfaatnya.


3-Keteladanan adalah bahagian penting pengajaran yang boleh didapati dalam perang khondaq. Semasa perang khondak, Allah menurunkan satu ayat menyuruh kaum muslimin menjadikan Rasulullah sebagai model atau contoh yang terbaik. Dalam keadaan kaum muslimin mengahadapi situasi yang sukar Allah menurunkan perintah ini kerana secara psikologinya lebih mudah menyuruh orang taat ketika mana dia berada di dalam kesukaran daripada dia berada di dalam kesenangan dan keselesaan. Sebaliknya pemimpin pula perlu menunjukkan keteladanan dalam apa jua situasi sama ada senang atau pun susah.


4-Tawadhuk juga terlukis dalam keperibadian Rasulullah saw semasa berlakunya perang khondak. Ketawadhu'an lahir dan bathin tergambar dalam pola kepimpinan beliau. Siapapun orang itu telah diberikan peluang bertemu dan berkomunikasi dengan Rasulullah. Rasulullah sentiasa bersedia duduk bersama dengan sahabat untuk meminta pendapat, menerima usul dan memberikan penghargaan pada sahabat yang memberikan kontribusi terbaik dalam bentuk fikiran maupun amal Islamnya.




Dalam entri yang akan datang saya akan menghuraikan sambungan pengajaran yang boleh digarab dari peristiwa perang khondak, insyaAllah.




5-Turun ke lapangan


6-Cinta dan simpati yang dalam


7-Mempunyai kekuatan fizikal


8-Optimis


9-Memiliki Keberanian yang tinggi


10-Disiplin

Monday, May 17, 2010

Cabaran Pertama...

Saya tidak melihat pagar besi itu sebagai halangan kerana sekiranya saya menganggapnya sebagai halangan saya tidak akan mempunyai motivasi yang tinggi untuk meruntuhkannya. Sebaliknya saya menganggap pagar besi itu sebagai cabaran kerana melalui cabaran ia pasti mencabar hati dan minda saya untuk terus berusaha melaluinya. Halangan itu sebenarnya hanya ada di dalam diri kita. Kita yang membentuk halangan itu menjadi halangan, halangan itu menjadi rintangan, halangan itu menjadi pelemah jiwa. Sedangkan Allah telah memberikan kita hati dan akal fikiran untuk melalui semua halangan itu.

Sebaliknya jika kita melihat halangan dari sudut pandang yang berbeza dari orang biasa maka di situlah keluarbiasaan kita. Sentiasalah mencabar hati dan minda kita supaya sentiasa menjadi orang yang luar biasa...

SELAMAT HARI GURU...


Semalam 16 Mei 2010 adalah tarikh yang dinobatkan sebagai Hari Guru di Malaysia. Saya cuma ingin mengajak diri saya dan sahabat-sahabat serta rakan guru yang lain membuat satu refleksi tentang tugas yang telah kita jalankan selama ini? yang pertama sekali saya hendak melihat semula apakah niat yang tertanam jauh di sudut hati kita hari pertama melangkahkan kaki ke sekolah untuk menjadi guru? kalau sekiranya niat kita bukan semata-mata mencari keredhaan Allah maka marilah kita sekali lagi pada saat ini memperbetulkan semula niat kita bahawa tujuan utama kita mendidik pelajar ini adalah untuk mencari keredhaan Allah. Mengadabkan insan, mentarbiyyah insan serta mencurahkan ilmu sepatutnya menjadi agenda utama kita melewati pekerjaan sebagai seorang guru ini. Sebahagian besar masa depan para pelajar kita itu adalah ditentukan oleh corak didikan kita pada hari ini. Maka apakah kita sudah melaksanakan tanggung jawab itu sebaik mungkin? Apakah kita telah menyediakan mereka dengan kehidupan mereka di masa hadapan? Sudah berjayakah kita melahirkan banyak Usama bin Zaid ataupun Aisyah? Ataupun kita asyik memikirkan untuk naik gaji, beban tugas, beban masa dan segala macam beban lagi. Sebenarnya kita sudah berada di trek yang betul cuma kitalah yang menentukan bagaimana untuk melaluinya. Inilah medan untuk kita berjuang dan berjihad. Inilah medan jihad yang kita kena pertahankan. Mempertahankan maruah anak didik kita melalui sentuhan iman samalah seperti kita mengangkat pedang mempertahankan nyawa dan darah kita dari musuh yang durjana. Jadi, mengapa ada di antara kita mengabaikan tugas yang mulia ini? Mengapa ada di antara kita yang menganggap tugas ini tugas secondary? Mengapa ada di antara kita yang berkongsi tangan menghancurkan masa hadapan mereka? Marilah bertanya kepada diri kita, kalau bukan kita guru, pada bahu siapa kita menggayutkan beban tugas mengadabkan mereka? Ayuh diriku, ayuh sahabatku, ayuh rakan-rakanku, melangkahkan kaki di medan jihad yang penuh berliku ini dengan niat yang ikhlas untuk mencari keredhaan Allah. Apabila kita meletakkan mencari keredhaan Allah matlamat kita, insyaAllah semua perkara boleh diurus menurut fitrahnya, insyaAllah.
SEMOGA PERKONGSIAN INI MEMBUKA RUANG HATI DAN FIKIRAN KITA UNTUK MENAMBAH USAHA JIHAD KITA MEMPERJUANGKAN IMAN MELALUI BIDANG PENDIDIKAN INI, AMIN.