- Ada segolongan yang sedar rumah terbakar dan cuba keluar untuk menyelamatkan diri dari bahang panas api kebakaran.
Ada segolongan lagi yang sedar rumah sedang terbakar, cuba keluar untuk menyelamatkan diri dan juga cuba menyelamatkan orang lain, mengejutkan orang lain yang sedang lena tidur supaya bangun untuk sama-sama keluar dari rumah tersebut.
Ada segolongan lagi yang tidak sedar rumah sedang terbakar, tidur dengan lena sekali sehingga tidak mengetahui apa yang sedang berlaku.
Golongan yang pertama ialah golongan yang berbuat kebaikan tetapi hanya untuk dirinya sendiri sahaja. Golongan yang kedua ialah golongan yang selain membuat kebaikan untuk dirinya sendiri juga golongan yang keluar ke medan dakwah bagi mengajak orang lain sama-sama berbuat kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Sementara golongan yang ketiga ialah golongan yang langsung tidak mengetahui apakah matlamat hidup di atas muka bumi ini. Marilah kita sama-sama bertanya serta menyemak semula diri kita; kita berada di dalam golongan mana?