Saturday, December 5, 2009

Malim Nawar-Sungai Tengi-Batang Kali

Gambar Hiasan....gambar masjid baru di tepi sungai di tengah Bandar DiRaja Kelang, diambil dari bilik hotel semasa berkursus.
Hari ini menghadiri 3 majlis perkahwinan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, segalanya dipermudahkan cuma tersesat sikit-sikit tu biasalah kerana pergi ke tempat yang pertama kali kita pergi sebab peta dalam kad kahwintu tidak begitu detail. Walaupun jarak ketiga-tiga tempat agak jauh tetapi segalanya berjalan seperti yang dirancang. Saya merancang, Allah merancang tetapi perancangan Allah itulah yang lebih baik. Sebelum memulakan perjalanan saya solat sunat duha terlebih dahulu, serta memohon kepada Allah dipermudahkan urusan saya serta diredhainya aktiviti saya menghadiri semua majlis tersebut seterusnya diterima menjadi ibadah kepadaNya, Ameen...
Di ketiga-tiga majlis tersebut saya mempelajari beberapa perkara tentang persamaan dan perbezaan dari sudut adat resam, budaya, norma, persekitaran fizikal dan kekeluargaan. Persamaan yang jelas dan nyata ialah ketiga-tiga pasangan pengantin kelihatan begitu ceria dan gembira dihari bahagia mereka. Perbezaan adalah dari cara mereka berpakaian, makanan yang dihidangkan, cara percakapan dan banyak lagi.
Itulah keindahan yang Allah ciptakan di dunia ini iaitu kepelbagaian. Bayangkan sahaja sekiranya semuanya sama, mungkin saya tidak akan menghadiri ketiga-tiga majlis tersebut sebab saya sudah mengetahuinya dari majlis pertama yang saya hadiri. Dari perbezaan yang Allah ciptakan itu saya dapat berkenal-kenalan dengan orangnya, budayanya, persekitaran fizikalnya dan bermacam lagi. Namun begitu dalam perbezaan saya masih boleh melihat persamaan. Titik persamaan itulah yang perlu kita cari supaya perbezaan yang ada tidak membuatkan kita mendabik dada.
Namun orang Barat suka sangat pada konsep "Dare to be different". Contohnya apabila semua negara kuasa besar telah bersetuju dengan sesutu isu, tiba-tiba Amerika menggunakan kuasa vetonya dengan memberi pemikiran yang berbeza tentang isu tersebut sedangkan dia tahu perbezaan pendapat itu boleh menimbulkan beberapa masalah tetapi sengaja tidak mahu mencari persamaan, konon dare to be different....
Akhirnya saya mendoakan semua pasangan pengantin yang majlis mereka saya hadiri agar mendapat kebahagian di dunia dan di akhirat dan juga saya mengucapkan tahniah dan syabas kerana anda semua sedang berusaha melengkapkan sebahagian dari agama kamu. Lengkapkanlah dengan sempurna kerana kamu sudah diberi peluang untuk melakukannya. Jangan kerana perkahwinan kamu semua leka, sebok dengan anak-anak dan segala urusan lalu misi melengkapkan sebahagian dari agama itu tinggal menjadi konsep sahaja di dalam kehidupan perkahwinan kamu.