Wednesday, July 7, 2010

Apa ada pada sebuah perjalanan....

Petang semalam saya berada di dalam perbualan dua orang rakan sekerja. Yang seorang menasihatkan yang seorang lagi supaya menjaga diri kerana akan menjalankan walimatulurusnya tidak lama lagi. Yang dinasihati bertanya kepada saya mengapa orang selalu cakap begitu pada orang yang akan berkahwin. Sebenarnya banyak kebiasaan orang tua-tua dahulu memberi nasihat tidak disertakan dengan alasan dan ketika itu orang yang diberi nasihat pula biasanya tidak bertanya lebih, tetapi menurut sahaja apa yang dinasihatkan. Kalau dikaji semula sebenarnya banyak juga dari nasihat itu ada kaitan dengan apa yang disunahkan kepada kita cuma ianya disampaikan dalam suasana dan budaya kita. Sebaliknya orang sekarang banyak bertanya banyak menyoal.
Walau bagaimanapun kalau budaya dan adat yang selaras dengan tuntutan sunah dan Al-Quran, tidak mengapa kita meneruskan kerana disitulah wujudnya kepelbagaian di antara kelompok manusia di muka bumi ini.
Sebenarnya bukan dalam urusan perkahwinan sahaja kita patut dinasihatkan supaya menjaga diri; apa-apa sahaja urusan kita perlu menjaga diri secara pakej. Kita perlu menjaga kesediaan kita dari sudut fizikal, emosi, minda serta jiwa kita supaya sentiasa berada dalam tahap iman yang sakinah agar apa sahaja pekerjaan yang bakal kita lakukan akan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat dan mendapat keredhaan Allah. Umpamanya jika kita hendak melakukan sebuah perjalanan, kita perlu bersedia dari segenap sudut meskipun persediaan itu dari sudut perjalanan fizikal yakni bergerak dari satu tempat ke satu tempat namun ianya perlu disertakan dengan elemen spiritual, emosi dan juga minda yang sentiasa dalam tahap maksima dan bersedia.
Jauh berjalan luas pandangan. Begitu yang sering diungkapkan. Walau bagaimanapun pandangan tidak akan menjadi luas sekiranya sebelum melakukan perjalanan kita tidak bersedia sama ada fizikal, mental, emosi dan spiritual. Ke empat-empat komponen memerlukan persediaan yang sangat rapi supaya hasil perjalanan itu dapat meluaskan sudut pandang kita.
Pertama kita harus faham apa matlamat perjalanan kita. Kedua kita harus dapat membayangkan jalan-jalan yang perlu dilalui, supaya tidak terlambat atau tersesat diperjalanan, ketiga apa bekalan untuk dibawa ketika diperjalanan. Keempat target waktu untuk kita sampai di sana dan yang kelima apa aktiviti yang kita hendak lakukan semasa telah sampai ke destinasi.
Begitulah juga dengan perkahwinan tadi, perlu bersedia dari segenap sudut agar mencapai matlamat yang dihajati.
Jadi berhati-hatilah dalam setiap pekerjaan walau apa sekalipun pekerjaan yang hendak kita lakukan dan tahu apa matlamat yang hendak dicapai. Semoga Allah sentiasa memberikan petunjuk yang benar dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan, insyaAllah...Amin.