Sunday, September 25, 2011

BAGAIMANA BERSILATURAHIM DI BULAN SYAWAL

Kita telah lama tamat pengajian di madrasah ramadhan, madrasah yang mengajar erti ketaqwaan manusia terhadap penciptanya, Allah Yang Maha Agung, Tuhan Yang Menciptakan langit dan bumi serta segala isi di dalamnya.

Setelah sebulan kita beribadah melalui amalan berpuasa ditambah pula enam hari berpuasa sunat Syawal, Allah menganugerahkan kita hari untuk meraikan kemenangan iman (berjihad melawan hawa nafsu) iaitulah eidul fitri untuk kita melahirkan rasa syukur dan kegembiraan di atas kemenangan tersebut.

Walaupun Allah telah menganugerahkan hari kemenangan ini namun dalam kegembiraan itu yang lebih utama ialah mengukuhkan silaturrahim antara satu sama lain. Silaturrahim dapat diperkukuhkan melalui amalan ziarah menziarahi.

Pagi tadi semasa saya menghadiri majlis jamuan hari raya, seorang sahabat saya telah menyampaikan sedikit peringat bagaimanakah kita sepatutnya berukhuwah di bulan syawal ini melalui amalan ziarah supaya aktiviti ziarah itu akan menjadi satu ibadah yang diterima Allah.

Dalam aktiviti ziarah terdapat adab-adab dan etika ziarah yang harus kita amalkan. Jika mengikut keutamaan, berikut adalah keutamaan yang dianjurkan, ziarahlah:

1-Kedua ibu bapa dan kaum keluarga terdekat
2-Sahabat yang rapat
3-Jiran tetangga
4-Alim ulamak
5-Anak-anak yatim
6-Orang yang ada masalah perhubungan dengan kita

Dalam aktiviti ziarah, beberapa perkara harus di jaga, jagalah:

1-Akhlak supaya sentiasa berakhlak mulia dengan orang yang kita ziarahi
2-Aurat kerana tidak semua yang kita ziarahi itu mahram kita
3-Tuturkata kerana tuturkata yang baik itu akan menjadi ingatan dan penyejuk hati 

SEMOGA AMALAN DIBULAN RAMADHAN DIPANJANGKAN KEBAIKANNYA SEHINGGA SYAWAL DAN BULAN-BULAN YANG AKAN DATANG DAN IANYA DITERIMA SEBAGAI AMAL YANG SOLEH.

Saturday, September 24, 2011

ANTARA CIRI-CIRI MEREKA YANG IKHLAS

Semasa sibuk mengemas gerobok lama, saya terjumpa artikel tentang keikhlasan yang ditulis oleh seorang sahabat yang sedang melanjutkan pengajian peringkat PHD di Warwick University.

Antara ciri-cirinya ada 8:
1-Takut terhadap populariti dalam beramal.

2-Sentiasa berasa sedikit beramal walaupun telah banyak melakukan amal.

3-Sentiasa mencintai amal-amal tersembunyi. Lebih mengutamakan menjadi akar dalam pohon jamaah. Dengan akar pokok tumbuh dan hidup tetapi tersembunyi di dalam tanah.

4-Sama amalnya ketika menjadi pengikut ataupun pemimpin.

5-Tidak mengikut keredhaan manusia jika di situ terdapat kemurkaan Allah.

6-Kecintaan dan kebenciannya, pemberiaan dan kengganannya, redha dan murkanya semua kerana Allah.

7-Tidak membuatnya malas dan kendur disebabkan panjangnya perjalanan, lamanya waktu mananam buah, terlambat keberhasilan dan berbagai kesulitan lagi.

8-Gembira dengan kejayaan orang lain.

Sumber penulisan: Syarah Ta'alim (AUDMZ)