Monday, January 25, 2010

As Saaf (Barisan)

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

JALAN UNTUK MENCAPAI KEMENANGAN.
Keharusan umat Islam mempertahankan agamanya dalam barisan yang teratur

1. Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi; dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
2. Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?
3. Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.
4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.
5. Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Hai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahwa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?" Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka[1473]; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.
[1473]. Maksudnya karena mereka berpaling dari kebenaran, maka Allah membiarkan mereka sesat dan bertambah jauh dari kebenaran.

Saya sedang menghafal 5 ayat dari Surah As Saaf ini. As Saaf bermakna "barisan". Dari ayat ini saya sebenarnya sedang memuhasabah semula peranan diri saya sebagai orang beriman (anak yang beriman, guru yang beriman, ketua yang beriman, jiran yang beriman, sahabat yang beriman, rakan yang beriman, kerabat yang beriman, saudara yang beriman). Saya takut menjadi apa yang digambarkan di dalam ayat ini, mengatakan sesuatu tetapi tidak mengerjakan. Saya mohon perlindungan dari Allah S.W.T dari sifat-sifat tersebut seterusnya memohon kepada Allah agar apa yang saya katakan saya kotakan. Kita manusia sememangnya cenderung hanya berkata-kata tetapi tidak melakukannya. Saya bimbang sekiranya di dalam menjalankan urusan saya di muka bumi Allah ini saya lebih banyak berkata-kata daripada mengerjakannya. Saya juga takut saya menyuruh orang lain membuat sesuatu tetapi saya sendiri tidak melakukannya. Oleh itu Ya Allah lindungilah aku dari mempunyai sifat-sifat yang Engkau tidak suka Ya Allah...Amin.




Sunday, January 24, 2010

Kursus Membina Blog

Semalam (23/01/2010) saya telah mengendalikan satu kursus membina blog untuk guru-guru AJK Unit Dokumentasi dan Rekod Sekolah dan AJK Pusat Akses sekolah. Kaunselor, guru Bahasa Inggeris serta guru KHB juga turut serta memenuhkan tempat yang masih ada. Kursus telah diadakan dari pukul 12.30 pm hingga 2.30 pm. Alhamdulillah nampaknya 80% objektif telah tercapai. Saya percaya dari semasa ke semasa mereka yang telah menghadiri kursus ini akan terus meneroka teknik-teknik pembinaan blog.
Saya beritahu mereka perkara pertama yang perlu ada ialah minat, selain itu ialah kemahiran asas komputer dan kemahiran asas internet. Perkara lain yang saya telah beritahu ialah bahawa penulisan dalam blog ini juga mempunyai etika-etikanya juga. Saya mengingatkan mereka bahawa tulisan kita akan dibaca oleh orang serata dunia jadi jagalah etika-etika tersebut dan jangan menulis dalam mode memfitnah, mengumpat, mengeji dan sebagainya. Saya juga berpesan agar tidak membenarkan "Adult Materials" dipaparkan di dalam blog mereka. Semoga kursus ini telah memberi sedikit sebanyak manfaatnya kepada saya dan juga mereka. Selamat Memblog...