Monday, April 26, 2010

Surat Buat Pengetua (2)

Saya sedang mencari-cari satu formular terbaik sebagai module untuk dijadikan JOB SPEC saya kerana saya bukan setakat bekerja tetapi saya sedang mencari keredhaan Allah. Saya bermohon kepada Allah walau apapun posisi saya, berilah saya kekuatan untuk melaksankannya secara yang terbaik.
Petikan di bawah ini saya copy dari blog seorang sahabat sebagai kajian saya membina module untuk job spec saya sendiri:
Memang kerja bukan matlamat kita, yang kita harapkan ialah keredhaan Allah dan tentunya keikhlasan merupakan kayu ukur utama samada amal kita diterima atau tidak. Amal yang terbaik adalah amal yang dilakukan dengan ikhlas serta dilaksanakan secara sistematik. Allah SWT berfirman di dalam surah al Mulk yang maksudnya:
"Dialah yang menjadikan hidup dan mati untuk menguji diantara kamu siapa yang paling baik amalannya (Ahsanu 'amalan)".
Persoalan sekarang apa bezanya antara amal yang baik dan amal yang paling baik. Perbezaannya terlalu besar, mungkin seperti pelajar yang lulus PMR dan pelajar yang lulus cemerlang dengan 9A. Adakah kita berpuas hati dengan lulus sahaja? Kalau kita tanya pada calon yang lulus, apa rahsia 'kejayaan'nya tentu dia akan jawab rajin berusaha. Tetapi jika tanyakan pada calon yang dapat 9A pula kita akan dapati jawapannya terlalu jauh berbeza. Mungkin katanya, kita perlu ada target, perancangan dan strategi. Jadi target, perancangan dan strategi ini adalah sebahagian daripada SISTEM. Ya, kita perlukan sistem dalam kehidupan kita agar kita dapat melaksanakan ahsanu amalan (amal yang terbaik). Kita dapat melaksanakan sesuatu apabila kita lakukannya secara bersistem. Pernah kawan saya tanya apa yang maksudkan dengan kerja bersistem lalu saya menjawab "Apabila kamu tidak ada, ada orang lain yang boleh menyambung kerja-kerja yang sudah kamu mulakan dia tahu dimana nak dapatkan maklumat, dia juga tahu dimana patut dia dapatkan fail-fail tertentu....". Bekerja secara sistematik memang baik tetapi tidak ramai yang suka melaksanakannya dalam kehidupan harian. Kenapa?
Pertamanya kerja bersistem ini menuntut disiplin yang tinggi sedangkan tak semua orang suka dengan disiplin. Kebanyakan orang lebih suka siapkan tugasnya dengan apa yang ada dan mudah. Inilah yang disukai nafsu iaitu mudah dan instant kerana kecenderungan jiwa manusia kearah ini seperti air yang menuruni bukit sedangkan untuk melatih diri berdisiplin dan sentiasa memikirkan dan merancang hari esok adalah seperti air yang menaiki bukit; memerlukan satu tenaga atau dorongan tambahan.
Kedua, SISTEM menuntut kepada persediaan untuk masa depan kerana sistem ini seperti tali yang menghubungkan satu kerja dengan satu kerja yang lain. Jika satu kerja disempurnakan dengan baik maka kerja yang kedepan akan lebih mudah. Tetapi kebanyakan manusia suka melihat apa yang ada ditangannya sekarang, masa depan fikir kemudian. Sikap ini menyebabkan banyak berlaku pengulangan kerja dan pembaziran masa.
Ketiga, untuk bekerja sacara sistematik memerlukan pemerhatian dan penelitian yang mendalam dan tajam. Semua ini memerlukan ketajaman fikiran dan kepekaan jiwa sedangkan suasana hari ini tidak menjuruskan kita kearah itu. Segalanya mudah dan senang, tak perlu fikir panjang. Seorang hukama' menggambarkan aqal fikiran manusia seperti tanah, semakin dalam kita gali semakin banyak khazanah atau kekayaan yang akan kita jumpa. Jika sekadar di permukaan apa yang kita dapat?