Wednesday, August 15, 2012

KAU... DI DALAM SENTUHAN RASA HATIKU

Hati dan perasaanku berbunga-bunga pada saat aku menunggu kedatanganmu tempoh hari, kau bukannya kerap datang menemuiku. Dalam aku sering mengharapkan dirimu, kau datang hanya sekali sahaja dalam setahun menemuiku. Itu yang membuatkan aku sentiasa ternanti-nanti dan kerap merinduimu.

Tanggal 21 Julai 2012 itu akhirnya kita bertemu, kau titipkan banyak hadiah buatku. Tak terkata aku pada kebaikanmu. Aku mengambil semua kesempatan yang ada untuk bersamamu di saat kau datang menemuiku. Aku gembira dan bersyukur kerana diizinNya dapat menemuimu lagi pada kali ini. Banyak kali butir-butir mutiara itu jatuh dari kelopak mataku kerana sukanya aku dapat bersamamu meskipun aku tahu bila tiba saatnya kau pasti meninggalkan aku. Kedatangan engkau umpama ombak yang datang menyapa pantai, sungguh singkat jika hendak dihitung pertemuan itu. Tapi aku pasrah pada ketentuan itu. 

Kini saat berpisah sudah hampir tiba, walau ku tahan pemergianmu dengan air mata darah sekalipun engkau tetap akan pergi. Cuma aku merayu kepada Pencipta kita agar merestui pertemuan kita, agar Dia rehdo dengan kita, agar Dia kurniakan berkat di masa-masa kita bertemu dan biarlah perpisahan yang akan menjelma itu juga perpisahan keranaNya. Diizinkannya kita bertemupun sudah merupakan nikmat yang tiada nilainya dan tak terhitung dengan kata-kata. Oleh itu aku redho sekiranya dua tiga hari lagi kekasihku ini akan berangkat jua pergi meninggalkan aku sendirian lagi mengharungi banyak perjalanan yang penuh onak dan duri serta ranjau di sepanjangnya. 

Cuma aku berdoa moga dengan segala latihan dan motivasi yang telah kau garap di sepanjang pertemuan kita itu menjadi senjata yang ampuh untuk aku terus mengharunginya. Aku akan ingat pada segala pesananmu, aku pasti tidak akan lupa jika aku benar-benar mahukan kejayaan itu. Banyak formular yang telah aku pelajari darimu, mudah-mudahan banyaklah boleh membantu aku menyelesaikan segala permasalahan di dalam hidupku kelak. Moga pertemuan ini akan berlaku lagi di tahun-tahun yang mendatang, aku berdoa dengan sungguh-sungguh untuk aku dikurniakan nikmat bertemu denganmu lagi. Selamat berangkat kekasihku, kau sentiasa di dalam sentuhan rasahatiku...Amin.

Aku yang sentiasa merindui dan menangisi pemergianmu
Ramadhan 27, 1433H