Friday, November 16, 2012

Detik-detik terakhir bersama ayahnda tercinta

Pada malam tanggal 4 Oktober 2012/khamis, kakak de saya di kampung memberitahu saya bahawa bapak tak sihat dan tak berselera makan dan asyik tidur sahaja serta kelihatan lemah sekali. Saya mengambil keputusan untuk mengambil cuti dan pulang ke kampung dengan segera keesokan harinya. Tiba di kampung bersama kakak saya yang seorang lagi iaitu Kak Tun saya terus menemui bapak, serta menyuapkan bubur nasi yang telah disediakan oleh kakde. Alhamdulillah, ayah dapat menghabiskan bubur nasi tersebut. Pada sebelah malamnya kaktun cuba pula menyuapkan bubur nasi lagi tetapi ayah sudah tidak berselera maka. Saya terjaga beberapa kali sewaktu tidur memerhatikan ayah saya yang tidur tetapi bunyi kahak yang banyak dilehirnya agak membimbangkan saya. Keesokan harinya kami sepakat memanggil Medical Assistant (Zamani namanya) ke rumah untuk memeriksa kesihatan ayah. Setelah diperiksa didapati terdapat jangkitan kuman dalam paru-paru ayah dan ayah memerlukan antibiok untuk menyembuhkannya dan MA mencadangkan ayah di bawa ke hospital dengan segera. Kami adik-beradik setuju dengan cadangan tersebut. Setelah ambulan tiba ayahpun dibawa ke hospital daerah Raub. 

Doktor yang menerima ayah di wad kecemasan membuat pemeriksaan dan ayah perlu dimasukkan ke wad. Walau bagaimanapun doktor mencadangkan sejenis ubat yang menganduungi unsur khinzir di dalamnya tetapi kami sebagai waris diminta berfikir sama ada setuju ataupun tidak dengan ubat tersebut. Setelah berbincang sesama kami dan membuat beberapa panggilan telefon merujuk hukum dan pandangan akhirnya kami adik-beradik setuju ayah tidak diberikan ubat tersebut. Kami tegas tidak rela darah yang mengalir di dalam tubuh ayah itu bercampur dengan unsur yang haram, kami berusaha membuat bacaan yaasin dengan menjemput saudara-mara terdekat untuk memohon doa terhadap ayah dengan keberkatan surah yaasin. Alhamdulillah ramai yang hadir ke rumah kakde untuk memohon doa beramai-ramai untuk ayah dan untuk diri mereka juga.

Keadaan ayah adakala tenang adakala nampak terlalu sakit. Malam pertama ayah di hospital, saya dan kak indun bersama-sama menjaganya. Semua anak-anak buah balik menziarahi atuknya di hospital. Selain menjenguk tok, kami dapat berjumpa dan bertanya khabar di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan. Berbincang, berkerjasama, berdoa, bermunajat sambil berkongsi pelbagai cerita kehidupan masing-masing. Cerita pekerjaan, cerita pelajaran tetapi yang lebih menyerlah di saat ini adalah belaian emosi. Sedih, kasihan, kasih, sayang, ampun, maaf, pelukan, ciuman dan sentuhan lebih nampak ketara.

Surau hospital dijadikan tempat kami berehat sementara dan pastinya di situlah kami bersolat dan bermunajat. Menerima kedatangan saudara mara dan kenalan rapat yang menziarahi bapak juga menambahkan silatulrahim kami yang sihat. Berbincang dengan doktor dan jururawat juga menambah mesra pesakit, penjaga pesakit dan kakitangan hospital. Beramah mesra dan bertegur sapa dengan penjaga dan pesakit lain juga menambahkan semangat dan kekuatan antara kami menempuh segala dugaan ini. 

Seribu satu macam perasaan yang tak tergambar sentiasa bermain di fikiran dan di sudut hati dan sanubari. Saya sendiri insaf "how fragile life in this world...". Hanya kepada Allah kami sering berdoa, berharap dan bertawakkal, tiada daya dan upaya tanpa pertolonganNya, lemah dan tersangat lemah, hina dan tersangat hina dengan dosa dan kesalahan. Hanya kepadaNya kami memohon keampunan. "Ya Allah berilah kami rahmat dan kasih sayangmu, Ya Allah berilah kami ketabahan, Ya Allah permudahkanlah segala urusan kami,Ya Allah ringankanlah penderitaan yang dihadapi oleh bapa kami...." segalanya penuh harap hanya kepadaNya. 

Selama 2 minggu berulang alik ke wad, pelbagai penderitaan yang kami saksikan, terasa insaf. Terasa ketabahan doktor, terasa banyaknya pengorbanan jururawat yang bertugas. Saya sendiri tidak setabah doktor yang terpaksa menghadapi pesakit walaupun di tengah malam atau di hujung minggu dan mungkin juga tidak setinggi pengorbanan jururawat yang mengorbankan masa tidur bersama anak-anak dan suami di rumah. Terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka yang sanggup berkorban untuk keselesaan orang lain.

Pagi Ahad 21 Oktober 2012, saya bersiap-siap untuk menjaga ayah di wad bersama Kak Indun dan Siti (pembantu rumah yang kami sediakan untuk membantu kakde menjaga ayah). Sesampainya saya di katil ayah saya nampak keadaan ayah terlalu lemah. Saya mencapai naskah yasin dan almathurat lalu membaca kedua-duanya. Selepas membacanya saya dan kakak sama-sama cuba memberi keselesaan kepada ayah di samping itu saya cuba memberi susu kepada ayah melalui saluran di hidungnya. Semasa saya cuba menarik penekan picagari untuk mengeluarkan udara cecair hijau yang keluar dari perut ayah, saya tarik lagi, benda yang sama juga keluar malah makin banyak. Lalu saya menghentikan niat untuk memberi susu tetapi sebenarnya hati saya semakin bimbang. Nafas ayah mula perlahan. Dalam pada itu kakak saya sempat membuat panggilan kepada kakde dan abang untuk segera ke hospital sementara kaktun yang berada di Tanjung Malim kerana berehat sementara waktu setelah menjaga ayah selama seminggu, juga kami hubungi.

Saya dan kakak membisikkan kalimah Lailahailallah ke telinga ayah beberapa kali, ayah semakin lemah. Saya memanggil doktor yang kebetulan ada pada pagi itu tetapi sedang merawat pesakit lain, doktor memberikan isyarat kepada saya bahawa dia akan membuka topeng oksigen dan biarlah ayah pergi secara natural katanya di samping itu dia melihat anak mata ayah dan katanya sudah tiada respon. Walaupun saya sebenarnya tidak kuat tapi saya sentiasa bermohon di dalam hati supaya saya tabah menghadapi kenyataan bahawa ayah sudah hampir menyahut panggilan Allah. Lebih kurang jam 10.20 pagi itu ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan saya dan kak indun. Innalillahiwainnailaihurojiun. Dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali, yang kekal hanyalah Allah.