Monday, December 17, 2007

Demi Masa dan Muhasabah Diri


Salam...


Apabila menyebut hal masa, penulis teringat bahawa perkara yang tidak boleh kita ambil semula, tidak boleh kita tahan pemergiannya dan semakin hari semakin menjauhi kita adalah masa lalu kita. Sebab itu sebarang detik masa adalah amat penting untuk kita manfaatkan sebaik mungkin dengan perkara-perkara yang terbaik pula, jika tidak kita tidak mungkin untuk mengundurkannya untuk kita padamkan sebarang lakaran yang telah mewarnai masa kita. Jadi setiap saat, kita seharusnya melakarkan warna-warna kehidupan yang indah yang hanya diredhai oleh Allah. Namun dalam keseronokan duniawi kadang-kadang kita lalai dan lupa. Kadang-kadang kita membiarkan masa berlalu begitu sahaja, kita buang ia secara sia-sia malah yang lebih menyedihkan lagi kadang-kadang kita palitkan pula dengan warna kehitaman yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang sentiasa inginkan keredhaan. Nanti tiba saat dan ketika kita akan melihat semula tayangan filem kehidupan kita, apakah ianya akan mendatangkan keseronokan untuk kita menontonnya semula ataupun sebaliknya? Oleh itu kita setiap hari seharusnya memuhasabah diri, apakah yang telah kita lakukan sepanjang kehidupan 24 jam sehari semalam. Adakah kita telah mengisikannya dengan segala perkara yang mendatangkan redhaNya atau adakah kita mengatur kehidupan kita sehari semalam dengan jadual kehidupan yang mengikut hati, perasaan dan nafsu nafsi sahaja. Adakah hari ini lebih baik daripada semalam? Adakah hari ini sama sahaja seperti semalam? Atau adakah hari ini lebih buruk daripada semalam. beruntunglah kita sekiranya hari-hari yang mendatang kita rancangkan untuk sentiasa lebih baik daripada hari semalam. Apa yang kurang semalam, kita semak semula, kita baiki semula di mana yang kurang, lakukan penambahbaikan dan hadapi hari-hari yang mendatang dengan persediaan iman semoga apa yang kita rancangkan adalah sebuah perancangan yang diredhaiNya.

No comments: