Tuesday, March 11, 2008

Nikmat Kesihatan...


Salam...

Seperkara yang aku jarang lupa memohon kepada Allah dihujung solatku ialah nikmat kesihatan yang berpanjangan, ketenangan jiwa dan mempermudahkan segala urusan kehidupanku fiddunyya wal akhirah. Bertapa kerdilnya kita hanya apabila ada small ulcer sahaja di dalam mulut hilang nikmat makan, minum dan berkata-kata. Apatah lagi jika Allah turunkan ujian kesihatan yang lebih besar, masyaAllah...

Berikut adalah bicara ringkas tentang kesihatan oleh Dato’ Dr Mashitah Ibrahim, untuk tatapan kita bersama...
Islam merupakan satu agama yang cukup memberi perhatian terhadap kesihatan. Sesiapa yang diberikan kesihatan daripada Allah s.w.t., mestilah memelihara kesihatan tersebut.
Betapa pentingnya menjaga kesihatan terserlah apabila Rasulullah s.a.w. menyebut dalam sebuah hadis,
“Permintaan yang paling disukai Allah daripada hamba-Nya ialah meminta dianugerahkan kesihatan yang sempurna.”
Bahkan Baginda sendiri mengajarkan umatnya supaya mengamalkan selawat shifak.
Di dalam tafsiran Ibn Abbas, nikmat yang dimaksudkan dalam surah al-Kauthar ayat 8:
“Di kemudian hari kamu akan ditanya tentang nikmat,” ialah nikmat kesihatan. Manusia akan di pertanggungjawabkan apakah yang telah dilakukan ketika sihat.
Jika diteliti syariat Islam yang diturunkan Allah kesemuanya diturunkan untuk memelihara kesihatan manusia. Cuma skop kesihatan diperluaskan pada kesihatan mental, fizikal, spiritual, keturunan dan harta. Setiap sesuatu yang diharamkan syariat adalah disebabkan Allah tahu ia memudaratkan kesihatan manusia. Setiap yang dihalalkan pula sudah pasti boleh memanfaatkan mereka.
Menurut pandangan Islam kesihatan akan dapat dipelihara dengan baik jika manusia mengamalkan satu tabiat hidup yang telah diatur dengan baik. Kesihatan akan terpelihara jika manusia menjaga makan minum mereka. Ini bertepatan dengan pepatah yang menyebut ‘you are what you eat’ atau ‘anda ialah apa yang anda makan’.

Islam menyeru supaya umatnya memilih makanan yang mempunyai dua kriteria iaitu halal dan baik atau berkhasiat. Makanan kita mestilah daripada sumber yang halal di samping berzat, berkhasiat dan baik yang sesuai dengan tubuh badan seseorang. Soal makan sangat penting kerana antara makanan dan keperibadian seseorang mempunyai pertalian yang amat kuat. Makanan yang baik dan halal akan menjamin akhlak yang lahir juga baik, sebaliknya makanan daripada sumber yang haram akan menyebabkan lahirnya akhlak yang negatif.
Setelah memilih makanan yang halal dan baik, Islam memberi panduan tentang adab makan pula iaitu bersederhana dalam makan. Ia menyeru umatnya supaya makan dan minumlah tapi jangan melebih-lebih. Ini diperakui oleh para doktor bahawa makan yang berlebihan boleh mengakibatkan penyakit obesiti atau terlebih gemuk. Rasulullah s.a.w. mengajar umatnya supaya makan dengan tiga jari yang bermaksud memperkecilkan suapan, begitu juga pesan Baginda supaya umatnya membahagikan perut kepada tiga bahagian. Satu untuk makan, satu untuk minum dan satu lagi untuk pernafasan.
Setengah daripada kita ada tabiat buruk dalam adab makan. Walaupun perutnya kenyang tetapi disebabkan ada kawan yang mempelawa makan percuma, dia masih sanggup mengisi lagi perut yang sudah penuh. Tidak kurang juga yang dapat peluang makan percuma di rumah terbuka atau jamuan akan mengambil peluang makan seolah-olah dia makan untuk seminggu. Ramai juga yang tidak menahan nafsu melihat deretan panjang makanan dalam jamuan bufet, lalu diambil kesemuanya hingga membukit di pinggan. Akhirnya bila tidak termakan ia dibuang begitu sahaja.
Kebersihan juga memainkan peranan penting untuk menjamin kesihatan. Banyak hadis yang mengajak umat mengamalkan kebersihan seperti seruan sugi gigi setiap kali sebelum solat. Ini bererti seorang Islam akan menggosok gigi sekurang-kurangnya lima kali sehari. Begitu juga larangan melonggok sampah di sudut rumah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya,
“Janganlah kamu suka melonggokkan sampah di depan rumah seperti orang Yahudi.”
Demi menjamin kesihatan, orang Islam diarahkan supaya memberi hak pada setiap anggota tubuh badan supaya tercegah daripada penyakit. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik daripada merawat. Tubuh badan wajar diberi hak rehat dan juga hak bergerak. Banyak riwayat daripada Rasulullah s.a.w. menceritakan kelebihan berjoging misalnya. Begitu juga untuk hak rehat, ada waktu tertentu yang disuruh kita tidur. Pernah satu hari baginda Rasulullah s.a.w. melihat anaknya Fatimah tidur semula selepas Subuh lalu baginda terus mengejutkannya dan berkata, “Adakah kamu akan tidur pada waktu Allah sedang membahagikan rezekinya?”
Menjaga kesihatan dalam Islam bukanlah sekadar luaran sahaja tetapi makanan rohani juga harus dititikberatkan. Jiwa yang tidak disantap dengan pengisian dan ilmu yang berfaedah akan terasa gersang. Akhirnya jiwa ini akan mencari sesuatu yang tidak baik sebagai mengisi kekosongan di dalamnya.
Tidak kurang ramai juga yang terlibat dalam penyalahgunaan nikmat kesihatan. Nikmat sihat dikira salah guna jika di kala sihat manusia lupa beribadat. Dia leka dengan perkara lain yang menjauhkan dirinya daripada Allah sebaliknya apabila dia sakit atau ditarik nikmat sihat daripadanya barulah dia teringat hendak memperbanyakkan ibadahnya.
Sesungguhnya kesihatan adalah nikmat Allah yang paling berharga. Gunakanlah ia sebaik mungkin untuk mendekatkan diri pada Allah . Penyalahgunaan nikmat sihat di sisi Allah adalah sesuatu yang dilarang di dalam Islam.

No comments: