Saturday, April 18, 2009

TELL THEM WHY...Change is easier to take when people can see a rationale behind it

Jika sesebuah organisasi hendak kekal di dalam usaha perniagaannya ia haruslah melakukan perubahan, dan perubahan adalah sesuatu yang menakutkan. Ramai orang melihat perubahan sebagai suatu ancaman. Bagi mereka perubahan adalah pemusnah kepada kebiasaan dan keselesaan dan sesuatu yang dianggap tidak menyeronokkan. Walau bagaimanapun keselesaan adalah musuh kepada kegemilangan. Lebih buruk lagi ianya boleh melumpuhkan sesebuah organisasi.
Seorang penyelaras syarikat penerbangan pernah memberitahu bahawa ramai juruterbangnya mati disebabkan mereka kekal terlalu lama di dalam kapal terbang yang sudah menurun keupayaannya. Mereka lebih suka kepada kebiasaan di kokpit daripada payung terjun yang asing bagi mereka walaupun sebenarnya mereka mengetahui kokpit boleh menjadi perangkap yang membunuh sedangkan payung terjun boleh menjadi penyelamat kepada kehidupan.
Banyak perniagaan telah runtuh kerana orang-orang di dalamnya memilih kebiasaan walaupun mereka tahu cara lama itu berisiko tinggi serta menempa kehancuran. Oleh yang demikian perubahan merupakan kemestian.
Walau bagaimanapun kunci kejayaan kepada sesebuah perubahan ialah:
1- Melakukan perubahan tersebut secara terancang. Jika perubahan dirancang dengan baik dan di bawah kawalan, warga di dalam sesebuah organisasi yang terlibat akan merasa stabil walaupun berada di dalam suasana perubahan dan cara ini adalah lebih meyakinkan.
Perubahan terancang perlu melalui tiga peringkat:
(1.1) Pelembutan (Softening)
Semasa proses pelembutan para pekerja harus membuang habit lama
(unlearn old habits).
(1.2) Pembentukan(Reshaping)
Semasa proses pembentukan, cara-cara baru perlu disemai.
(1.3) Penstabilan(Restabilising)
Semasa proses penstabilan, cara baru yang di semai harus menjadi habit
yang baharu.
2- Pemimpin organisasi juga perlu menerangkan sebab-sebab mengapa perubahan harus dilakukan. Perubahan lebih mudah dilakukan sekiranya orang boleh nampak rasional di sebalik perubahan tersebut.
3- Pemimpin organisasi juga perlu mengurangkan ketakutan warga organisasi untuk berubah dengan cara membuat jangkauan awal dengan mengenalpasti perkara yang mungkin berlaku apabila perubahan akan diperkenalkan. Ini boleh meminimakan risiko.
4- Berikan pula peluang kepada warga organisasi membuat jangkaan daripada perubahan tersebut dengan melakukan perubahan dengan cara langkah demi langkah, jangan memberi kejutan dan jangan memberi amaran kerana orang akan terkejut, apabila terkejut orang boleh jadi marah, melatah dan langsung beranggapan negatif kepada perubahan tersebut maka berhati-hatilah.
5-Para pekerja sama ada di peringkat pertengahan atau bawahan perlu tahu bahawa pihak pengurusan memberi sokongan sepenuhnya kepada sebarang perubahan. Jika mereka harus belajar perkara yang baru, mereka berhak mendapat jaminan dan sokongan dari pihak pengurusan, dan tidaklah nanti mereka dipersalahkan sekiranya terdapat sebarang kekurangan dan kesilapan.
6- Pihak pengurusan juga perlu memberi galakan dan penghargaan kepada mereka yang berjaya melakukan perubahan. Ini juga merupakan satu rangsangan kepada kejayaan sesebuah perubahan.
7-Sepekara lagi ialah apabila ingin melakukan perubahan, para pekerja seharusnya diberi peluang melalui "pilot project" atau "trial runs" yang bermaksud fasa percubaan sebelum "going live" atau sebelum melakukan perubahan yang sebenar.
8- Seterusnya sebagai pengurus kita mungkin akan mendapati segelintir pekerja yang begitu cepat menerima perubahan dan sangat positif pencapaian mereka di dalam melakukan perubahan, jadikan mereka ini model atau contoh kepada pekerja-pekerja lain.
9-Akhir sekali...organisasi yang berjaya ialah organisasi yang sentiasa mencari jalan untuk menginstitusikan perubahan. Apabila warga di dalam organisasi tersebut telah terorientasi untuk berubah dan terdidik secara berkesan terhadap perubahan itu, organisasi tersebut akan mempunyai masa depan yang cerah dan akan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. InsyaAllah...
Gambar: Ambillah iktibar dari gelagat rusa masuk kampung; kerana tidak berilmu tentang kampung itu, tidak biasa dengan suasana sekitarnya...rusa tidak dapat menerima suasana baru itu dengan tenang lalu jadilah seperti rusa masuk kampung...terlari-lari di dalam ketakutan kerana tidak terbiasa dengan perubahan