Wednesday, December 30, 2009

Hati Tak Bergetar

Seorang pemimpin tidak akan berjaya menjadi pemimpin yang berkaliber sekiranya dia tidak membina dirinya dengan sifat-sifat kepimpinan.
Pemimpin itu sendiri yang mesti membentuk dirinya menjadi pemimpin. Seorang individu agak sulit untuk menjadi pemimpin sekiranya dia memiliki sifat-sifat berikut:

1. Mementingkan diri sendiri
Orang yang begini menganggap ’status lebih penting dari jenis pekerjaan’

2. Berlengah-lengah
Orang yang suka melambat-lambat atau menangguh-kan kerja, orang-orang begini akan sentiasa memberi pelbagai alasan untuk melengahkan kerja atau untuk mengambil keputusan.

3. Kebiasaan yang sukar diubati (status quo)
Orang yang berfikir bahawa kebiasaan-kebiasaan yang sukar hendak diubati adalah suatu yang biasa. Sikap mi boleh menjadi pendorong utama kepada kegagalan.

4. Mengingati kisah-kisah lalu
Mereka yang sentiasa hidup dalam kejayaan masa lalu akan tinggal dalam angan-angan untuk memperoleh kembali keadaan seperti itu semula.

Kalau anda mahu melatih diri untuk menjadi pemimpin anda mestilah:

1. Sanggup melakukan apa yang anda ingin lakukan.
Untuk melatih diri jadi pemimpin cuba tidak ter-pengaruh dengan keputusan majoriti. Orang yang suka pada keputusan majoriti biasanya akan memuaskan orang lain dan kadang-kadang terpaksa mengenepikan diri sendiri. Untuk melatih diri menjadi pemimpin anda tidak seharusnya terikat dengan keputusan pemimpin. Ada masanya idea yang ditentang oleh majoriti ada kebaikannya. Orang yang berhasrat untuk menjadi pemimpin perlu dapat melihat kebaikan dari idea yang ditentang.

2. Sanggup cuba membentuk personaliti walaupun sulit.
Orang yang ingin jadi pemimpin perlu bercita-cita tinggi untuk jadi pemimpin. Perlu memilih azam yang kuat dan mengamalkan sikap bekerja kuat. Semangat mendorong diri sendiri harus datang dari dalam diri. Dorongan begini akan menolong mengatasi perasaan takut. Orang yang mempunyai dorongan dalam diri yang kuat tidak akan takut menghadapi dugaan.

3. Pengetahuan
Seorang pemimpin sebaik-baiknya mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam dalam bidang yang diceburinya. Pengetahuan yang luas boleh membantunya membuat keputusan yang bijak dan pertimbangan yang wajar.
4. Kemampuan untuk merancang
Kemampuan merancang projek pembantu bawahan adalah modal yang penting untuk mendapat pengikut. Keupayaan merancang juga menggambarkan kewibawaan dan daya mengawal pengikut sehingga pengikut dapat menurut arahan kita secara sukarela. Pemimpin yang baik mengutamakan ciri yang baik yang ada dalam diri pengikutnya, tidak berat sebelah dan membuka peluang orang bawahan menyampaikan pendapat dan pandangan.

5. Daya imaginasi
Seorang yang ingin menjadi pemimpin perlu mempunyai daya imaginasi yang positif dan membina. Ia harus mampu menjadi pelopor, penyelidik, pencipta dan jaguh. Daya imaginasi yang baik akan membolehkan seseorang menyelesaikan masalah secara paling baik dan paling efektif. Daya imaginatif dapat dipupuk dengan banyak membaca, mendengar dan menimba pengalaman peribadi yang baru dengan positif tidak menolak idea yang dikemukakan secara terburu-buru walaupun ia kelihatan kurang sesuai ketika itu, tetapi mungkin berguna pada masa hadapan.

6. Kuasa pemutus
Setiap sesuatu keputusan yang diambil itu haruslah berasaskan sumber pengetahuan yang boleh dipercayai. Keputusan perlu dibuat tanpa emosi. Keputusan itu mestilah keputusan yang terbaik dirasakan oleh pemimpin walaupun ada pendapat yang mengatakan keputusan itu kurang baik. Membuat keputusan memerlukan ketegasan, keyakinan dan keberanian dari dalam diri. Proses utama membentuk personaliti pemimpin ialah pengetahuan, kebijaksanaan, keadilan, kemuliaan, keakuan dan terhasillah kepimpinan agung. Pemimpin-pemimpin agung akan menilai sesuatu dalam kehidupannya secara paling agung. Misalnya seorang ahli falsafah agung, Earl Nightingale telah mengemukakan beberapa perkara paling agung dalam kehidupan:

i. Hari paling agung ialah: Hari ini.
ii. Permainan terbaik ialah: Bekerja.
iii. Kekeliruan terbesar ialah: Kehidupan.
iv. Keanehan teragung ialah: Kematian.
v. Pekerjaan terbaik ialah: Pekerjaan yang anda sukai.
vi. Kesilapan terbesar: Putus asa.
vii. Sifat yang paling hina: Keangkuhan.
viii. Keperluan teragung: Akal budi.
ix. Orang yang paling berbahaya: Pendusta atau penipu.
x. Bandar terbaik: Tempat di mana anda memperoleh kejayaan.
xi.Ciptaan paling menakutkan: Peperangan.
xii. Orang paling tidak peramah: Pengeluh.
xiii. Guru terbaik: Seseorang yang mendorong semangat ingin belajar untuk anda.
xiv. Kegagalan paling buruk: Jiwa yang kehilangan semangat.
xv. Perkara paling mudah, murah dan bodoh dilakukan ialah: Mencari kesalahan.
xvi. Orang paling bijak: Seseorang yang selalu membuat apa yang difikirkan betul.
xvii. Orang paling menjemukan: Orang yang terus bercakap walaupun sudah menyatakan pendiriannya.
xviii. Teman paling digemari: Seseorang yang tetap menerima anda seadanya.
xix. Perasaan paling keji: Iri hati pada kejayaan orang lain.
xx. Pengalaman paling memuaskan: Menjalankan kewajipan anda terlebih dahulu.
xxi. Tindakan terbaik: Ketenangan fikiran dan adil dalam pertimbangan.
xxii. Keberkatan paling baik: Kesihatan yang baik.
xxiii. Hukum salam teragung: Sebab dan akibat.
xxiv. Perjudian paling besar: Menganggap harapan sebagai kenyataan.
xxv. Perkara paling mesti dimiliki dalam hidup: Rasa diperlukan.
xxvi. Peluang yang terbaik: Ialah yang satu lagi.
xxvii. Kemenangan terbesar: Kemenangan atas diri anda sendiri.
xxviii. Kecacatan terbesar: Mementingkan diri sendiri.
xxix. Kehilangan terbesar: Hilangnya keyakinan pada diri sendiri.
xxx. Kerugian terbesar: Kebolehan dan bakat yang tidak digunakan sepenuhnya.
xxxi. Perkara-perkara teragung: Cinta kepada keluarga, rumah tangga, kawan-kawan, jiran dan tanah air yang memberikan kebebasan.

Kesilapan paling membodohkan:
1. Tidak mahu membetulkan kesalahan yang telah dibuat semalam.
2. Beranggapan semua orang yang telah berjaya mempunyai bakat istimewa.
3. Tidak mempunyai semangat untuk menukar fikiran.
4. Mengharapkan nasibnya berubah.
5. Mengatakan ini tidak boleh dilakukan.
6. Membelanjakan wang untuk perhiasan yang tidak berharga.
7. Memikirkan yang dia boleh hidup tanpa Tuhan.

Kecelakaan paling agung dalam kehidupan:
1. Tidak mempunyai dorongan diri untuk berjaya.
2. Tiada matlamat hidup yang nyata.
3. Sikap dan pemikiran yang negatif.
4. Mempunyai gambaran diri sendiri yang sangat negatif.
5. Takut menghadapi kegagalan dan kritikan.
6. Berserah sepenuhnya kepada takdir.

Kerana dan akibat:
1. Kerana dirimu tidak matang, anda dihina.
2. Kerana dirimu lembut, anda dibakar
Oleh itu, jadilah seperti batu, jadilah intan, sebab orang yang berjuang gigih dan berpegang teguh, alam ini akan bercahaya untuknya. Dan apabila kita sudah sanggup mengambil kepastian dan tidak dipengaruhi oleh angan-angan maka akan dapat mengendalikan fikiran.
Sepuluh petua untuk meningkatkan kejayaan:
1. Berusaha untuk mempelajari segala-gala pengetahuan yang baik.
2. Bersedia mendengar dan menerima kebenaran tentang diri anda.
3. Bersedia memikul tanggungjawab sepenuhnya tentang kejayaan dan kegagalan kita.
4. Bersedia bekerja sekurang-kurangnya 60 jam seminggu.
5. Bersedia menghadapi masalah dan mencari penyelesaian.
6. Menolak jalan mudah dan mencari jalan singkat.
7. Tidak terlibat dalam hal-hal yang remeh-temeh atau keji.
8. Berterus-teranglah terhadap perhubungan kita dengan orang lain.
9. Menyerahkan jiwa raga tanpa memikirkan balasannya.
10. Yakin yang tujuan anda benar dan membawa nilai yang besar bagi orang yang menerimanya.

INGATLAH orang yang tahu ialah orang yang tahu apabila dia tahu apabila dia tidak tahu dan…

SEDARLAH kadangkala nasib kita seperti bola, ditendang ke sana, ditendang ke sini. Walau bagaimanapun, bola inilah yang akhirnya ke jaring gol.
Anda boleh jika:
1. Jika anda fikir anda telah kalah sebelum berjuang, pastilah anda akan kalah.
2. Jika anda fikir anda tidak berani, memanglah anda seorang pengecut.
3. Jika anda fikir anda mencapai kemenangan tetapi tidak berdaya melakukannya, itu petanda yang anda telah hampir pada kegagalan.
4. Jika anda fikir yang anda akan tewas, sememangnyalah anda akan tewas.
5. Jika anda fikir anda akan diperbudak-budakkan demikianlah akan terjadi.
6. Jika anda berfikiran jauh untuk mencapai kedudukan tinggi, anda harus mempunyai keyakinan diri sebelum mahu mengecap sebarang kejayaan.
7. Perjuangan hidup ini bukan hanya terletak pada kekuatan dan kepantasan sahaja, tetapi pada hakikatnya manusia yang berjaya adalah mereka yang berfikiran `BOLEH’ melakukan apa yang dicita-citakannya – anda sepatutnya begitu. Dipinjam dari: