Tuesday, January 6, 2009

Konflik



Konflik merupakan fitrah kejadian manusia. Manusia tidak boleh lari dari konflik. Sebab itu sewaktu Allah Yang Maha Berkuasa hendak menyerahkan tanggung jawab pentadbiran alam ini kepada manusia, malaikat seolah-olah tidak percaya bahawa manusia boleh memikul tanggung jawab tersebut. Namun itulah hakikatnya, bersama fitrahnya itu Allah kurniakan akal fikiran, hati, jiwa dan perasaan supaya manusia itu boleh mengendalikan sebarang bentuk konflik di atas mukabumi ini. Oleh yang demikian maka terbahagilah konflik itu kepada sama ada mendatangkan kebaikan (konstruktif) sekiranya ia ditangani oleh akal yang sejahtera dan hati yang suci bersih dari belenggu hawa nafsu atau konflik itu boleh menyebabkan kemusnahan(distruktif) jika ianya ditangani dengan akal yang dungu dan hati yang penuh dengan karat-karat jahiliah. Hal tersebut tergantung bagaimana ianya ditangani.

Manusia tidak dapat lari dari pelbagai jenis perbezaan seperti contohnya perbezaan pendapat, perbezaan citarasa, perbezaan kehendak dan sebagainya kerana sengaja Allah jadikan demikian supaya manusia itu kenal-mengenali antara satu sama lain dek kerana perbezaan tersebut. Bayangkan sahaja sekiranya Allah jadikan manusia ini sama sahaja dari segala hal antara satu sama lain, terujakah kita untuk ambil tahu perkara yang sama yang ada pada kita?

Sekiranya konflik telah terlanjur berlaku maka manusia seharusnya tahu menangani konflik tersebut. Bukan membiarkan ia membarah menjadi dendam yang menghancurkan seluruh kehidupan manusia.

Walau bagaimanapun, syarat pertama yang perlu ada ialah keikhlasan hati untuk menyelesaikan konflik tersebut, kedua manusia perlu bertanya kepada dirinya sendiri bahawa apakah yang mahu dicari di dalam menyelesaikan konflik tersebut? Sekiranya kemenangan yang dicari sudah pasti ada yang kalah. Bolehkah satu pihak berfikiran terbuka menerima kekalahan? Tentu sangat sukar. Jadi, apa yang perlu dicari didalam menangani konflik ialah titik persamaan di dalam perbezaan. Mungkin di dalam perbezaan ada satu persamaan, maka persamaan itulah yang harus dihighlightkan bukannya perbezaan. Manusia perlu menyemak kembali kelemahan dan kelebihan yang ada di dalam diri masing-masing. Tiada seorang manusiapun yang yang mempunyai seratus peratus kelemahan dan tiada pula yang mempunyai seratus peratus kelebihan. Sekali lagi lihatlah pada kelebihan-kelebihan yang ada untuk digabungkan bagi lengkap dan melengkapkan di antara satu sama lain. Bukan bertelagah sambil menunding jari mencari kesalahan atau kelemahan orang lain.