Friday, May 6, 2011

Kenapa Majlis Di tinggalkan...


Suatu hari Baginda Rasulullah berada di dalam sebuah majlis di mana dua belah pihak sedang bertelagah. Maka berdirilah sebelah pihak mengatakan sesuatu di dalam keadaan yang amat marah sementara sebelah pihak lagi mendiamkan diri sahaja. Kali kedua, sebelah pihak yang sama berdiri dan mengatakan sesutu dengan perasaan yang sangat marah sementara sebelah pihak lagi tetap juga mendiamkan diri. Kali yang seterusnya, pihak yang kedua sudah tidak lagi boleh dapat menahan kesabarannya lalu kedua-dua belah pihak bangun dan berlakulah kata mengata di antara satu sama lain. Pada saat itu bangunlah Rasulullah meninggalkan majlis itu. Lalu sahabat bertanya, mengapakah Baginda meninggalkan tempat itu. Rasulullah menjawab semasa sebelah pihak sahaja mengeluarkan kemarahannya, ramai malaikat berada di dalam majlis itu kerana merahmati kesabaran yang ada pada sebelah pihak yang mendiamkan diri. Tetapi sewaktu sebelah pihak yang mendiamkan diri itu sudah tidak lagi dapat menahan kesabarannya maka pergilah malaikat meninggalkan tempat tersebut lalu pada saat itu Baginda juga turut pergi meninggalkan tempat itu.

Dari kisah Baginda Rasulullah SAW ini saya berdoa agar saya dan pembaca yang sudi singgah di blog sentuhan rasahati ini agar terus diberikan kesabaran oleh Allah S.W.T kerana Allah dan makhluknya yang lain akan sentiasa bersama-sama dengan orang yang sabar, Amin.