Sunday, December 14, 2008

Bingkisan dari kampung...Erti sebuah pengorbanan










Post ini ditulis semasa aku berada di kampung tercinta, Kampung Durian Sebatang)


Peraturan dan perjalanan alam ini telah ditetapkan oleh Allah mengikut fitrahNya. Apabila kita merujuk kepada bulan zulhijjah, ia merupakan urutan ke-12 dalam turutan bulan-bulan Islam. Di dalamnya pada hari kesepuluh ditetapkan sebagai hari perayaan kedua bagi umat Islam selepas eidul fitri yang diraikan dalam bulan syawal. Setelah orang-orang yang beriman menyucikan roh dan jiwanya di dalam bulan Ramadhan dan kemenangannya disambut di dalam bulan syawal, mucullah pula bulan zulkaedah sebagai bulan persediaan untuk roh yang suci bersih tadi melakukan latihan fizikal. Ia bertujuan melengkapkan kekuatan jiwa dan roh tadi dengan kekuatan fizikal. Maka berangkatlah jiwa yang suci itu dengan perjalanan fizikal menuju tanah suci Mekah. Pelbagai persediaan harus dilakukan termasuk harta benda, anak pinak, saudara mara, kaum kerabat, sahabat handai, masa, perasaan dan segala bentuk macam persediaan bagi menyempurnakan perjalanan tersebut. Lalu di atas kemenangan melakukan persediaan dan melakukan perjalanan tersebut Allah sekali lagi menganugerahkan sebuah perayaan tanda kemenangan. Ianya dinamai sebagai hari raya qurban atau eidlu adha sebagai hadiah oleh Allah di atas segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh seorang manusia kerana menjalankan perintah dan ketaatannya semata-mata hanya kepada Allah swt.

Di dalam perayaan ini, manusia disunatkan mengorbankan binatang yang telah ditetapkan seperti qibasy, unta, lembu, kerbau, kambing dan seumpamanya sebagai simbolik pengorbanan jiwa yang wajib dilakukan oleh seseorang manusia demi melahirkan ketaatannya terhadap Allah swt. Kerana sifat penyayang Allah, manusia hanya diperintahkan mengorbankan binatang ternakan bukan yang lebih besar daripada itu seperti mana nabi Allah Ibrahim diminta mengorbankan anaknya nabi Allah Ismail. Allah telah menguji ketaatan dua orang manusia yang dikasihi oleh Allah tersebut di atas kesanggupan mereka mengorbankan sesuatu yang di luar jangkauan akal dan fikiran manusia namun kerana ianya merupakan satu perintah dari Allah maka kedua-duanya tanpa ragu terus sahaja mentaati perintah dari Allah swt tersebut. SUBHANALLAH.

Maka apakah kita juga sanggup BERKORBAN demi menunaikan perintah Allah? Apakah kita sanggup mengorbankan harta kita bersedekah, berzakat di jalan Allah? Apakah kita sanggup mengorbankan sehelai selimut dan sebiji bantal demi untuk menunaikan solat subuh yang jauh lebih baik daripada tidur itu demi kerana Allah? Bagaimanakah kita seharusnya menghayati ibadah qurban ini di dalam kehidupan kita merupakan persoalan yang penting yang harus di jawab dengan penuh ketaatan.