Sunday, November 30, 2008

Teruja dengan keindahan alam dari skyway...

29/11/2008, Genting Highland, Pahang.

Meninjau dari cermin skyway aku begitu teruja dengan keindahan alam ciptaan Allah. Hutan hujan tropika yang meliputi kawasan persekitaran Genting Highland menyejukkan pandangan mata. Lembut basahkanlah lidahmu memuji kebesaranNya...

Di musim percutian ini tentu sekali ramai
di antara ibu bapa yang membawa anak-anak pergi bercuti. Walau di mana sekalipun kita pergi, sebagai ibu bapa, kita harus ingat apakah tujuan utama percutian yang kita rancangkan itu. Kita semestinya mahukan percutian tersebut sesuatu yang menjadi ingatan yang abadi buat kita dan juga anak-anak. Oleh itu kita seharusnya memurnikan objektif percutian kita itu sebagai suatu ibadah. Apabila ianya dirancang dari sudut ibadah, tentu sekali langkah pertamanya kita memasang niat bahawa tujuan percutian kita itu kerana Allah. Rujuk semula apa yang terkandung di dalam doa bermusafir yang diajarkan oleh Rasulullah. Latih anak-anak mengerjakan solat jamak dan qasar agar mereka tetap merasakan kepentingan solat itu walau di manapun mereka berada dan di samping itu dapat merasakan kelonggaran/hadiah yang diberikan oleh Allah semasa seseorang bermusafir. Ajak anak-anak sering berdoa kerana katakan kepada mereka bahawa doa orang yang bermusafir itu sangat dimaqbulkan oleh Allah. Ajarkan juga mereka menghayati keindahan alam semulajadi ciptaan Allah, agar supaya mereka akan sentiasa dapat merealisasikan keindahan, kecantikan dan kebersihan di dalam kehidupan mereka. Pendidikan melalui penghayatan akan menjadi lebih berkesan. Dalam keadaan bergembira, anak-anak lebih mudah menerima pendidikan. Ajarkan sebanyak mungkin kepada mereka menerusi percutian yang kita rancangkan itu. Selamat Bercuti...