Saturday, September 27, 2008

Ku wakafkan diriku untuk da'wah...







Ini adalah gambar sebahagian anak-anak didikku yang dahagakan ilmu pengetahuan, semoga aku mampu menyentuh hati-hati mereka dengan sentuhan iman dan kasih sayang dan gambar pokok-pokok kegemaranku. Aku rasa tenang memerhatikan proses tumbesaran pokok-pokok ini.
Walau bagaimanapun menanam sebutir biji benih ke dalam tanah dan menunggu ia membesar dan mengeluarkan buah rasanya jauh lebih mudah dari menanam sebutir iman ke dalam hati seorang manusia walaupun seorang yang bergelar manusia itu telah dikurniakan akal untuk memikirkan dan memilih yang terbaik untuk dirinya. Itulah antara cabaran yang paling hebat untuk dilalui oleh mereka yang mendambakan hidupnya di jalan da'wah. Berapa ramai anak-anak yang tidak berpuasa di bulan ramadhan yang hanya datang sekali dalam setahun apa lagi solat yang perlu ditunaikan 5 waktu dalam sehari. Kita bukan berhadapan dengan golongan minoriti yang tidak berpuasa apa lagi bersolat tetapi tuntutan agama ini seoalah-olah tidak sinonim lagi bagi golongan majoriti manusia. Itulah yang dibayangkan di dalam sebuah hadis Rasulullah bahawa Islam itu dagang dan akan kembali dagang maka beruntunglah sesiapa yang tetap di jalan ini. Seorang dai itu harus terasa asing, harus terasa sukar, harus terasa sunyi kerana Islam yang dibawanya dianggap asing oleh ramai manusia. Tetapi ingatlah pada janji Allah bahawa Allah pasti menolong orang yang menolong menegakkan agamanya di muka bumi ini...maka aku wakafkan diriku untuk da'wah walau bertapa sukar jalan yang harus aku lalui kerana aku yakin Allah membeli jiwa-jiwa orang beriman itu dengan syurga. YaWafi Lailahailallah.